Pengagihan zakat perlu ikut hukum syarak - Utusan Malaysia

Pengagihan zakat perlu ikut hukum syarak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Isu pengagihan zakat oleh wakil bukan Islam tidak terhenti pada halal dan haram sahaja sebaliknya melibatkan rangkaian hukum kompleks yang perlu dicerna secara holistik seperti dikehendaki syarak.

Pendakwah bebas, Nurul Haq Shahrir berkata, sebelum persoalan berkaitan wakalah zakat ini diperhalusi, ingin ditegaskan bahawa tanggungjawab menunaikan kewajipan berzakat tidak boleh disamakan dengan memenuhi tanggungjawab sosial yang dilakukan oleh kerajaan.

Katanya lagi, pelaksanaan zakat mengandungi dua elemen penting dalam memastikan ibadah zakat memberi rahmat kepada umat manusia iaitu dari segi kutipan dan agihan zakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketelusan dalam kutipan dan agihan zakat mempunyai kepentingan secara bersama yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya berkait rapat dalam membanteras kemiskinan. Selagi kutipan dan agihan zakat gagal dilakukan menurut neraca syarak, selagi itulah rahmat zakat untuk membasmi kemiskinan tidak dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikut merupakan kenyataan penuh Nurul Haq:

Penulis terpanggil untuk mengulas tentang kegelisahan awam dan kekeliruan yang dicetuskan oleh seorang Mufti seperti dilaporkan oleh Utusan Online pada 29 Mei 2019 bahawa harus untuk orang bukan Islam mengagihkan zakat kepada golongan asnaf berdasarkan sudut hukum fikah yang dibahaskan dengan terperinci dalam babwakalah.

Perlu ditekankan ialah isu perwakilan zakat ini tidak terhenti pada halal haram sahaja dan tidak semudah menyatakan ia harus atau sebaliknya tetapi ia melibatkan rangkaian hukum-hakam yang kompleks yang perlu dicerna secara holistik seperti yang dikehendaki Syarak.

Sebelum persoalan berkaitan wakalah zakat ini diperhalusi, ingin ditegaskan bahawa tanggungjawab menunaikan kewajipan berzakat tidak boleh disamakan dengan memenuhi tanggungjawab sosial yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Pelaksanaan zakat mengandungi dua elemen penting dalam memastikan ibadah zakat menatijahkan rahmat kepada umat manusia iaitu dari segi kutipan dan agihan zakat.

Ketelusan dalam kutipan dan agihan zakat mempunyai kepentingan secara bersama yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya berkait-rapat dalam membanteras kemiskinan.

Selagi kutipan dan agihan zakat gagal dilakukan menurut neraca syarak, selagi itulah rahmat zakat untuk membasmi kemiskinan tidak dapat dicapai.

Berbalik kepada isu wakalah zakat, penulis berpendapat bahawa mufti tersebut bertindak terburu-buru dalam menyatakan pandangan beliau berkenaan hal ini tanpa melihat isu itu secara menyeluruh. Perbuatan melepaskan batuk di tangga seperti ini menyalahi adab dan etika mufti agar tidak tergesa-gesa mengeluarkan hukum sebelum ia diteliti secara saksama.

Persoalan Pertama:

Pada masa sekarang, kuasa bagi mengutip dan mengagihkan zakat telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) seperti yang diperuntukkan dalam enakmen pentadbiran negeri. Bagi Pulau Pinang, peruntukan ini terkandung dalam Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004, Bahagian VI, Fasal 87(1) bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh membuat peraturan-peraturan untuk mengawal selia semua perkara yang berhubungan dengan pungutan, pentadbiran dan pembahagian zakat dan fitrah.

Jelas, perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit yang mengedarkan kit bantuan zakat kepada penduduk Islam di sini Ahad lalu boleh dikategorikan sebagai aktiviti ‘pembahagian zakat’ yang bertindak sebagai wakil MAIN. Persoalan yang ingin dilontarkan ialah, adakah wakalah Chris Lee ini berdasarkan peraturan yang dibuat oleh YDPA berkenaan pembahagian zakat dan fitrah? Sudahkan wakalah ini dipersembahkan dan memperoleh perkenan Baginda?

Jika tidak, bolehkah kontroversi ini dilihat sebagai kesalahan seperti yang diperuntukkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996, Bahagian III, Seksyen 7(a) iaitu “mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain, menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina?”

Bukankah wakil bagi tujuan pengagihan zakat sewajarnya diberi tauliah dan watikah pelantikan setelah mengikuti kursus yang mendedahkan konsep asnaf, jumlah had kifayah dan diberi tunjuk ajar oleh pegawai terlatih agar agihan zakat diberi berdasarkan kelayakan asnaf.

Selain itu sebagai penerima wakalah, tanggungjawab wakil adalah untuk mematuhi segala syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam kaedah pengurusan wakalah. Adakah tuntutan ini telah dipenuhi Chris Lee? Sebagaimana zakat, wakalah juga mempunyai rukun dan syarat-syarat tertentu. Penerima wakil tidak boleh seorang yang jahil kerana wakil telah menjadi seorang amil.

Amil adalah mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal-ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya. Jika tersalah agih, dosa akan ditanggung YDPA kerana menurunkan kuasa kepada pihak yang salah.

Dalam hal ini, Chris Lee tidak wajar dipertanggungjawabkan bagi keculasan MAIN Pulau Pinang. Apa yang amat dikesali ialah pandangan mufti ini telah mengakibatkan pelaksanaan ibadah zakat dirundung fitnah, ditohmah dan dicurigai terutamanya apabila perbuatan sama disusuli oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto melalui program pemberian hamper zakat dan moreh di Masjid Permatang Batu anjuran Ahli Parlimen Batu Kawan tersebut.

Persoalan Kedua:

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 perlu dibaca secara bersama dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 yang memperuntukkan bahawa ianya terpakai hanya bagi orang Islam sahaja (Bahagian 1(2), tertakluk kepada Seksyen 5). Ini bermaksud pelantikan amil dan seumpamanya hanya boleh berlaku dan dilantik dari kalangan orang Islam, maka pendapat atau pandangan yang meluaskan peruntukan enakmen-enakmen tersebut kepada bukan Islam adalah (1) berlawanan dengan undang-undang, dan (2) terbatal.

Persoalan Ketiga:

Beberapa kemelut berkaitan fikah juga tercetus rentetan daripada kontroversi ini. Disebut dalam beberapa rujukan muktabar Mazhab Syafi’ie, iaitu Tuhfah Al-Muhtaj (Jld. 3, m/s 354, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 2012), karya Ibnu Hajar dan FathulWahhab Al-Malik Syarah ‘Umdah As-Salik (Jld. 2, m/s 207-208, Kuwait: Dar Al-Dhiya’,2014) bahawa agihan zakat lebih afdal dilakukan oleh Sultan atau wakil yang dilantik Baginda bagi tujuan penyelarasan dan memastikan pentadbiran yang telus.

Justeru,bolehkah Chris Lee dan Kasthuriraani dianggap sebagai wakil agihan zakat lantikan YDPA yang sah? Turut ditegaskan dalam kitab yang sama ialah wakil agihan zakat dituntut mendoakan pemberi zakat tersebut dengan lafaz, “Ajrakallah FimaA’taita wa Baraka Laka Fima Abqaita wa Ja’alahu Laka Tuhura”, bahkan bacaan doa ini wajib menurut satu pandangan ulama’ dari kalangan Ashabul-Wujuh.

Bagaimana mungkin Chris Lee dan Kasthuriraani dapat membaca doa ini seperti yang dituntut syarak? Penulis serahkan kepada budi bicara mufti untuk menjawab persoalan ini.

Polemik fikah seterusnya berkisar kepada niat zakat. Syarak menghendaki wakil yang ditauliahkan melakukan niat ketika zakat diagihkan sebagai langkah keluar daripada khilaf untuk mengelakkan pertelingkahan (Al-Damiri, Najmul-Wahhaj, Jld. 3, m/s. 256-257, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 2018), bahkan Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa wakil bukan Islam wajib menghadirkan niat sewaktu agihan dibuat (Al-Isnawi, Kifayah Al-Nabih, Jld. 8, m/s. 88, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 2009).

Terdapat juga bayaran Kaffarah yang dikenakan jika wakil dilantik dari kalangan bukan Islam seperti yang ditetapkan oleh Al-Isnawi. Bagaimana niat tawkil dipenuhi oleh kedua-dua individu terbabit dan adakah bayaran Kaffarah sudah tertunai adalah suatu misteri.

Selain itu, mufti tersebut juga perlu memberi pertimbangan kepada qaul yang dinisbahkan kepada ulama’ Syafi’ieyyah tersohor seperti Al-Ruyani dan Al-Ghazali dalam salah-satu pendapatnya yang mengharamkan lantikan orang bukan Islam sebagai wakil bagi ibadah mahdhah kerana pandangan mereka ini selari dengan perlembagaan yang mengehadkan pelaksanaan agama Islam kepada orang Islam sahaja.

Pandangan ini disokong oleh Al-Rahibani dalam Matalib Ulin-Nuha (Jld. 2,

m/s. 123, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 2008). Polemik yang tercetus menunjukkan bahawa fatwa atau pandangan hukum hakam yang dikeluarkan tidak seharusnya terhenti kepada penyataan harus, haram, atau makruh. Seorang mufti tidak sepatutnya bersifat simplistik dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan pandangan hukum tertentu untuk mempertahankan tindakan ahli politik. Lebih buruk jika fatwa dikeluarkan hanya mengikut kehendak dan telunjuk penguasa demi kepentingan mereka.

Keabsahan Fatwa bergantung sepenuhnya kepada pemahaman nas syarak dan ketepatan fakta. Jika seseorang tidak memahami atau menguasai nas dan fakta dengan baik, maka sudah pasti pandangan hukum yang dikeluarkan akan tersasar jauh dari kebenaran. Pemahaman nas syarak pula tidak akan dapat dicapai jika mufti yang dilantik bukan seorang yang Faqih dan tidak mempunyai kelulusan ikhtisas dalam bidang Fiqh dan Usul Al-Fiqh.

Jurusan Usuluddin tidak mempersiapkan seseorang Mufti itu dengan kemahiran penyelidikan hukum yang kompeten. Tugas sebagai mufti memerlukan kepakaran dalam bidang hukum Islam; penguasaan segala cabang Fiqh adalah mekanisme terpenting dalam mengeluarkan hukum yang tepat, sejahtera dan mendatangkan maslahah awam sesuai dengan kehendak Syarak. -UTUSAN ONLINE

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini