Bendung pengambilan periuk kera, elak pupus - Utusan Malaysia

Bendung pengambilan periuk kera, elak pupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABIS 2 Jun – Lemang atau pulut periuk kera sememangnya makanan yang sinonim dengan penduduk di sini setiap kali musim perayaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Juadah tradisional tersebut sudah menjadi sebati bagi penduduk setempat kerana periuk kera mudah didapati di daerah kecil ini kerana terdapat kawasan hutan simpan kekal termasuk di hutan berdekatan perkampungan Orang Asli.

Kewujudan periuk kera memberikan sumber pendapatan tambahan dan lumayan kepada mereka yang mencarinya untuk dijadikan lemang periuk kera apatah lagi permintaannya tinggi semasa hari raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Periuk kera diburu kerana mempunyai perbezaan dengan lemang buluh kerana lemang yang dimasak dalam periuk kera lebih mudah diusahakan kerana menggunakan teknik kukus dan sentiasa lembut walaupun sudah sejuk.

Namun bagi seorang penduduk tempatan, Amirul Hamzah Hanapi, 39, bimbang tumbuhan tersebut akan pupus suatu hari nanti jika aktiviti pengambilan dilakukan dengan rakus tanpa kawalan.

“Memang tidak dinafikan mereka mampu menjana keuntungan, mereka juga perlu bertanggungjawab dalam menjaga khazanah alam bukan sekadar melihat keuntungan semata-mata.

“Pendek kata perlu ada keseimbangan disebalik mencari keuntungan dan tanggungjawab kepada alam oleh semua pihak termasuk penjual dan pembeli,” katanya ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Sementara itu, Suhaimi Ghazali, 57, berkata, sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil langkah untuk mendaftarkan dan melesenkan pencari periuk kera bagi tujuan pemantauan.

Katanya, jika perkara tersebut dilakukan, mungkin pengambilan secara tidak terkawal dapat dibendung sekali gus dapat memastikan tumbuhan itu tidak pupus.

Dalam pada itu, Pegawai Hutan Daerah Johor Utara, Segamat, Mohammad Ifratshim Muhamad Sa’ed berkata, aktiviti mengambil periuk kera di kawasan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan merupakan satu kesalahan.

Pihaknya sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap kedua-dua seksyen tersebut dan baru-baru ini telah menahan seorang pencari periuk kera bagi membantu siasatan kes memasuki hutan simpan kekal dan mengambil hasil hutan tanpa lesen.

Jelasnya, aktiviti mengambil hasil hutan tanpa lesen merupakan pelangaran terhadap Seksyen 47(1) serta Seksyen 15(1) Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu memasuki hutan simpan kekal tanpa permit dan mengambil hasil hutan tanpa lesen.

“Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 15(1) akta sama membawa hukuman RM500,000 dan penjara hingga 20 tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini