Hentikan politik sentimen - Utusan Malaysia

Hentikan politik sentimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGUAN: Bagaimana Datuk menilai prestasi Amanah dan Pakatan Harapan PH dalam tempoh setahun?

HUSAM: Kalau ikutkan hari pertama kita tumbangkan Barisan Nasional (BN) itu sudah merupakan kemuncak prestasi kerana untuk rakyat Malaysia membuat perubahan rejim bukan mudah. Di negara lain perubahan rejim berlaku dengan pertumpahan darah kerana akarnya telah tumbuh begitu kukuh dan akar ini dikuasai oleh semua instrumen kerajaan antaranya penerangan, polis, pihak keselamatan, tentera, dan agensi penguat kuasa lain bahkan institusi agama seperti imam, khatib, termasuk media turut terlibat.

Apabila berlaku perubahan rejim kita kena tahu kekuatan rejim lama tidak akan tercabut dengan sendirinya kerana ini adalah perubahan demokratik maka pegawai dan pengarah yang lama masih memegang jawatan sama lagi. Ini bermakna instrumen lama masih di situ lagi, apabila PH datang mereka tidak membuat proses pembuangan kakitangan awam yang dahulunya bersama menjayakan rejim lama secara besar-besaran. Ini menunjukkan dengan tidak melakukan diskriminasi politik dan pembunuhan politik ini adalah antara kejayaan tidak nampak PH.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Jabatan Penerangan misalnya mereka ini semua berkempen untuk BN dahulu termasuk RTM. Semua agensi ini bersama-sama rejim lama tetapi PH begitu lunak sekali hingga ada pihak merasa ada peluang untuk menghidupkan saki baki rejim lama.

Suka saya menasihatkan orang sebegini untuk melihat perspektif baharu termasuk kepada orang Pas dan UMNO. Mereka kena lihat daripada perspektif baharu yang mana mereka boleh memainkan peranan dalam mewujudkan satu sistem berkerajaan yang lebih bersih. Jangan hanya melihat ini peluang untuk tumbangkan PH dan mahu menjadi kerajaan balik.

Pandangan mengenai kerjasama UMNO dan Pas?

HUSAM: Pada pendapat saya Pas akan menjadi lebih efektif jika bersama PH tetapi Pas membangkitkan isu kononnya orang Cina menguasai kerajaan, ini kesalahan Pas kerana meninggalkan PH. Kalau Pas masih bersama PH jumlah kerusi mereka sebanyak 18 kerusi dicampur dengan 11 kerusi Amanah kita akan mempunyai 29 kerusi tetapi oleh kerana Pas waktu itu gelojoh dan ingin mencapai kejayaan dengan bersengkokol dengan rejim UMNO di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak maka Pas telah kehilangan peluang untuk menjadi sebahagian komponen kerajaan.

Jika di masa akan datang dengan strategi yang betul PH boleh menambah kerusi-kerusi parlimen orang Melayu yang kini dikuasai oleh UMNO dan Pas. Jika kerusi parlimen-parlimen orang Melayu dikuasai oleh PH, nisbah antara ahli parlimen Melayu dan bukan Melayu dapat dirapatkan semula.

Walaupun Pas dan UMNO bekerjasama belum tentu akan membawa kejayaan kerana PH sudah pasti tidak akan duduk saja kita akan membuat strategi kita pula kerana politik sentiasa dinamik. Bagi Pas pula mereka menganggap semua perkara dalam politik adalah statik kalau tidak sudah lama Pas berjaya.

Jadi saya suka mencadangkan kepada Pas dan UMNO supaya berfikir semula kerana asas yang pertama sekali ialah mereka tidak boleh berkompromi dengan unsur rasuah dan penyelewengan. Mana-mana parti yang hendak berjaya perlu mengetepikan unsur ini daripada perjuangan mereka. UMNO masih dilihat terpalit dengan sejarah penyelewengan, pendedahan-pendedahan ini tidak boleh ditangkis oleh UMNO. Jadi adakah kita hendak meneruskan kepemimpinan yang terpalit dengan unsur rasuah dan adakah pemimpin yang terpalit rasuah boleh memimpin orang Melayu? Pasti mustahil, ini bermakna kita memberikan ubat yang salah kepada orang Melayu, ubat yang betul adalah dengan mengukuhkan PH.

Tetapi ada pihak melihat PH tidak menjaga Islam dan Melayu?

HUSAM: Menjaga Islam yang pertama, pemimpinnya perlu bersih dan bebas daripada rasuah. Isu yang menumbangkan UMNO adalah rasuah dan membantu UMNO menumbangkan UMNO adalah Pas yang bertanding tiga penjuru dan bertanding lebih daripada sepatutnya. Jadi orang Melayu sentiasa dikalahkan oleh orang Melayu sendiri kerana orang Melayu terikut-ikut dengan perasaan dan gagal mengambil perkara objektif daripada satu-satu perkara.

Kalau orang Melayu daripada Pas dan UMNO menerima konsep PH dalam melakukan perubahan dalam negara saya yakin apa yang dibangkitkan oleh Pas dan UMNO tidak akan berlaku. Sekarang Pas dan UMNO mengambil pendekatan untuk memperbesarkan perkara itu, risikonya tetap ada pada mulanya orang akan nampak ia dapat menarik perhatian misalnya isu Tabung Haji dikuasai oleh Cina DAP tetapi apabila diberikan penjelasan dengan memberitahu orang Melayu yang menguruskannya sendiri maka isu itu sudah padam. Isu sebegini tidak boleh bertahan lama kerana ia adalah isu persepsi atau isu yang diada-adakan.

Setelah lama saya berjuang dalam Pas, apabila kita hidup dalam isu yang diada-adakan apabila tiba masanya nanti ia akan padam sendiri. Sebagai pemimpin kita kena melihat isu yang lebih penting cukup-cukuplah politik sentimen, kita kena berubah kepada politik yang membina.

Bagaimanapun Amanah dilihat lunak dengan DAP, adakah betul DAP telah menguasai Amanah?

HUSAM: Kalau UMNO boleh lunak dengan Pas dan Pas boleh lunak dengan UMNO, itu pun orang panggil persepsi. Sekarang Pas boleh lunak dengan UMNO sedangkan sebelum ini ahli Pas diajar ada batas iman dan kufur. Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun ada menulis buku tentang batas iman dan kufur iaitu mana-mana orang yang menolak undang-undang Islam itu kufur dan yang menolak undang-undang Islam itu adalah UMNO. Jadi saya tidak mahu terperangkap dalam isu-isu persepsi seperti itu.

Saya melihat kalau Pas dan UMNO menyertai PH dengan menerima konsep perjuangan PH iaitu semua orang dalam Malaysia mempunyai hak-hak tertentu seperti hak pendidikan yang adil, hak membangunkan keluarga dan ekonomi dengan adil untuk semua kaum, saya yakin negara kita akan menjadi lebih kuat.

Perkara ini terbukti apabila BN yang dibentuk oleh Tun Abdul Razak membolehkan negara menjadi sangat kuat dan Pas juga pernah menyertai BN waktu itu.

Selain itu, sekarang juga Pas sudah boleh menerima PBS yang dahulunya mereka menganggap sebuah parti Kristian. Timbul persoalan macam mana Pas boleh terima PBS, adakah PBS menerima Akta 355? Ini semua adalah kekaburan politik yang dibina untuk tujuan kuasa semata-mata. Kita tidak boleh ingat dalam Pas semua itu wali, mereka adalah aktor-aktor politik macam orang lain juga cuma asasnya mereka menggunakan Islam manakala UMNO menggunakan Melayu.

Ini dibuktikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan baru-baru ini yang apabila Pas mengumumkan menyokong calon PBS sebenarnya Pas sudah membuat satu kesilapan polisi daripada sebuah parti Islam yang tidak boleh berkompromi dengan segala macam perkara tiba-tiba boleh menyokong PBS. Bahkan orang Sabah dan Sarawak memang fobia dengan Pas dan sebab itulah PBS mendapat undi yang lebih rendah dalam PRK itu.

Ini adalah petanda bahawa kerjasama Pas dan UMNO boleh mematikan terus kedua-dua parti ini dari segi sokongan di seluruh negara jadi PH akan menjadi lebih kuat selepas ini dan sebab itu saya rasa selesa kerana ini akan meminggirkan Pas dan UMNO.

Kekuatan UMNO sebelum ini adalah dengan menjadi parti arus perdana, UMNO dilihat payung semua kaum dalam negara dengan membawa pendekatan sederhana dan aliran tengah tetapi sekarang apabila dibawa oleh Pas, UMNO sudah menjadi aliran kiri.

Misalnya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang sering dilihat begitu sentimental dan sering membangkitkan isu-isu sentimen sedangkan Ketua Pemuda UMNO sebelum ini tidak ada jalur ini tetapi UMNO waktu itu mendapat sokongan daripada seluruh kaum tetapi dengan pembawaan Asyraf Wajdi ia akan meminggirkan lagi UMNO.

Kerjasama UMNO dan Pas mungkin kuat di beberapa kerusi dan undi mereka juga mungkin akan meningkat di kerusi tertentu yang sememangnya telah dimiliki oleh Pas dan UMNO tetapi mereka tidak akan berjaya di kerusi-kerusi lain.

Adakah ini bermaksud PH akan mengalami kesukaran menembusi negeri Pantai Timur?

HUSAM: Belum tentu lagi kerana orang Kelantan dan Terengganu melihat asas kerjasama Pas dan UMNO satu kerjasama yang bertentangan dengan apa yang ditanam dan didoktrin dalam fikiran mereka sebelum ini, jadi kesan tindak balas itu masih belum dapat dilihat. Masa PRU lalu Pas sangat takut sekiranya ahlinya tahu parti itu mempunyai kerjasama dengan UMNO dan mereka menafikan sekeras-kerasnya.

Kenapa mereka takut? Kerana mereka tahu ahli Pas akan bertindak balas dengan mengundi PH jadi gelombang tindak balas ini belum dapat kita lihat kerana PRU masih lambat lagi.

Sejak Datuk dilantik menjadi Pengerusi KADA yang baharu, apakah perubahan yang sedang dirancang?

HUSAM: Tugas utama KADA adalah melibatkan diri dalam pembangunan ekonomi, sosial dan aktiviti pertanian. Selain itu, peranan KADA juga tidak tertumpu kepada penanaman padi dan pengairan sahaja tetapi KADA boleh berperanan secara kreatif untuk mewujudkan kemakmuran kepada petani-petani di bawah KADA atau penduduk dan keluarga dalam kawasan KADA.

Untuk mewujudkan kemakmuran, manusia itu sendiri perlu merasa hasil kemakmuran daripada wawasan yang telah ditetapkan kalau manusia tidak berpuas hati ini bermakna ada lagi perkara dalam kehidupan belum disempurnakan.

Sehingga sekarang bagaimana tahap kepuasan ini?

HUSAM: Sebagai peneraju KADA, kita seharusnya memastikan kepuasan petani dan warga KADA sebagai pusat ukuran sama ada mereka berpuas hati atau sebaliknya. Adakah mereka mempunyai cadangan untuk KADA meningkatkan mutu perkhidmatan dan apakah yang ingin dicapai di masa hadapan. Perkara ini boleh dicapai melalui program dialog yang lebih banyak, insya-Allah selepas sambutan hari raya saya akan menyusun lebih banyak program dialog bersama warga KADA dan petani. Selain itu, saya juga merancang untuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat petani dan penduduk supaya mereka mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan dan tahap kepuasan mereka sebagai pelanggan.

Isu apakah yang perlu diberi perhatian?

HUSAM: Isu pertama yang perlu diberi perhatian ialah masalah bekalan air untuk pengairan, kita sekarang menghadapi masalah dalaman dan luaran apabila pam yang kita ada tidak mampu menyedut air yang terlalu cetek. Ini berlaku disebabkan musim kemarau yang berterusan dan faktor lain seperti pembalakan dan pengorekan pasir yang menyebabkan dasar sungai lebih rendah sehingga menyebabkan pam kita gagal menyedut air ke dalam tali.

Kedua, masalah empangan rendah kita mengalami kerosakan menyebabkan ia tidak dapat menakung air sepenuhnya. Atas sebab ini kita gagal menyediakan air yang mencukupi untuk beberapa tahun lalu. Jadi tugas KADA adalah untuk mengatasi masalah ini.

Selain itu, kos elektrik KADA sahaja berjumlah RM12 juta setahun untuk rumah-rumah pam kita, kos ini agak tinggi jadi saya telah mencadangkan kepada KADA untuk melantik kon­sul­tan bagi membincangkan kemung­kinan menggantikan empangan kita yang rosak dengan empangan hidro sederhana kecil yang mana mempunyai empat fungsi serentak iaitu meningkatkan takungan air bagi membekalkan air ke dalam tali air, menjana tenaga elektrik untuk mengurangkan kos elektrik, mengawal banjir dan menyediakan bekalan air bersih. Kos pembinaan ini dijangka menelan belanja sebanyak RM140 juta tetapi kita boleh menarik pelabur masuk kerana bakal mendapat pulangan daripada tenaga elektrik.

Sementara menunggu empangan ini siap kita mencadangkan digunakan pam berkuasa tinggi yang mana kosnya hanya RM15 juta iaitu dengan mengepam air dari Sungai Kelantan ke tali air KADA.

Datuk sebelum ini ada mencadangkan penggunaan teknologi marijuana, bagaimana perkembangannya?

HUSAM: Saya sekarang sedang belajar mengenai akta penggunaan kanabis di Kanada untuk melihat bagaimana industri kanabis ini dibangunkan, diselenggara dan dikawal termasuk pengolahan penanaman dan pengolahan sebagai ubat-ubatan serta apa tugas doktor untuk membuat rawatan ini kepada pesakit. Kanada antara contoh negara yang membuka horizon baharu yang mana sebelum ini marijuana dimomokkan sebagai musuh manusia.

Terdapat dua jenis pokok marijuana iaitu tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD). Jenis THC akan menyebabkan seseorang itu berkhayal dan otak menjadi terangsang manakala kandungan CBD sangat mustahak untuk tujuan perubatan, sebahagian penyakit kronik boleh diubati dan diatasi dengan CBD daripada marijuana khususnya penyakit kanser dan ekzema.

Sejak saya membangkitkan perkara ini saya berpeluang berinteraksi dengan banyak pihak yang berpengalaman dalam perkara ini yang mana salah seseorang ialah Dr. Aimon Kopera, beliau ialah doktor pakar kanser dan sudah merawat lebih 3,000 pesakit kanser di Amerika dengan menggunakan asas marijuana dan sebahagian besarnya pesakitnya dapat dipulihkan.

Untuk rawatan sawan kepada kanak-kanak juga ia sangat berkesan bahkan dalam laporan terbaharu menunjukkan penagih dadah juga boleh dirawat dengan marijuana CBD.

Oleh kerana pengetahuan kita sangat terhad, kita terpengaruh dengan propaganda tanpa melihat hakikat atau kedudukan sebenar marijuana. Semakin kita mendalami bidang ini kita akan dapati tumbuhan ini pemberian tuhan dan oleh kerana itu, dunia memerlukan bekalan ubatan berasaskan marijuana ini. Malah, pasaran dunia untuk marijuana juga dianggarkan bernilai AS$441 bilion kalau kita lambat mengusahakan perkara ini kita akan ketinggalan dalam menyediakan keperluan rawatan kepada rakyat kita sehingga menyebabkan mereka perlu bergantung kepada perubatan moden yang begitu mahal harganya sedangkan Allah menyediakan alternatif yang begitu jimat dan berkesan.

Dari segi pasaran pula negara kita amat sesuai untuk tanaman ini jadi saya gembira bila kerajaan Malaysia bersedia untuk mengkaji tajuk ini menerusi jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan. Tugas saya serta rakan-rakan lain yang sudah berpengalaman dalam bidang ini ialah dengan memberikan pandangan-pandangan kepada kerajaan dan berharap satu masa nanti KADA boleh diberikan peluang mengusahakan tanaman marijuana dan mengolah bahan ini sebagai ubat dan juga penggunaan dalam rawatan khususnya untuk rakyat Malaysia dan negara sekitar.

Tidakkah Datuk bimbang diberi imej negatif kerana memperjuangkan penanaman marijuana?

HUSAM: Apabila kita faham sesuatu tajuk kita tidak akan takut, jadi takut apabila kita was-was dan tidak cukup pengetahuan. Misalnya, orang takut pada pokok kerana menyangkakan belakang pokok itu ada hantu tetapi apabila kita bersihkan semak samun dia akan jadi menjadi satu landskap yang indah. Jadi ketiadaan ilmu dan maklumat menimbulkan perkara tahayul apabila sains dan maklumat datang tahayul akan hilang dengan sendirinya.

Oleh kerana pengetahuan kita sangat terhad, kita terpengaruh dengan propaganda tanpa melihat hakikat atau kedudukan sebenar marijuana.

Setelah lama saya berjuang dalam Pas, apabila kita hidup dalam isu yang diada-adakan apabila tiba masanya nanti ia akan padam sendiri. Sebagai pemimpin kita kena melihat isu yang lebih penting cukup-cukuplah politik sentimen.

Cakap-cakap politik di warung-warung pasti tidak dapat lari daripada menyentuh isu Parti Amanah Negara (Amanah) telah dikuasai oleh DAP. Label negatif ini yang sering dibangkitkan sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi sesetengah pihak sehingga berjaya memberikan gambaran buruk terhadap pemimpin Amanah.

Lebih teruk, ada pihak menuduh Amanah yang merupakan parti membawa imej Islam dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai gagal menjaga Islam dan Melayu. Bagi menjawab persoalan ini wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AMEDULLAH dan juru foto, AZLAN HADI ABU BAKAR serta juru video, AZMAN AHMAD telah menemubual Naib Presiden Amanah, DATUK HUSAM MUSA di sini baru-baru ini.

Dalam wawancara selama sejam itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) turut berkongsi perancangannya di agensi itu dan cadangannya untuk menanam pokok ganja atau marijuana secara komersial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini