KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai secara sinis mencadangkan supaya sisa buangan radioaktif dari Lynas Corporation Ltd. (Lynas) dihantar ke kediaman Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) terutamanya Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack.
Menurut Dominic, tindakan itu dilakukan untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kesemua sisa buangan nadir bumi itu tidak memberi risiko langsung kepada rakyat.
Dominic turut mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membenarkan Lynas meneruskan operasi sebelum mencapai persetujuan supaya syarikat nadir bumi itu membawa pulang sisa buangan balik ke Australia.
Dakwa Dominic, Lynas mungkin dibenarkan untuk terus beroperasi walaupun Australia enggan menerima kembali sisa buangan kerana dua anak Dr. Mahathir mempunyai kaitan dengan syarikat tersebut.
“Berdasarkan laporan portal Malaysia Today pada 23 September 2011, organisasi ‘Save The Malaysian’ mendedahkan dua anak Dr. Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Mokhzani terlibat dalam pelaburan Lynas.
“Mukhriz yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah individu bertanggungjawab meluluskan pelan pembinaan kilang Lynas manakala Mokhzani adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kencana Petroleum yang mempunyai penglibatan dalam projek tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semasa dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, Jepun Khamis lalu, Dr. Mahathir dilaporkan mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi di negara itu.
Pengumuman Perdana Menteri tersebut menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara. – UTUSAN ONLINE











