MARAN – Seramai 32 pesakit di Hospital Jengka ceria selepas menerima duit raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar itu turut mendapat kerjasama UMNO Bahagian Jerantut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, program hari ini merupakan sumbangan peribadi beliau.
“Hari ini kita ziarah pesakit di hospital ini dan esok kita akan serahkan sumbangan UMNO Bahagian Jerantut di Hospital Jerantut pula.
“Kita turut menziarahi beberapa orang pesakit kronik untuk menyerahkan sumbangan daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Menurutnya, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa pesakit di hospital berkenaan dan berharap mereka cepat sembuh untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga masing-masing. – K! ONLINE











