Pengendali e-hailing perlu ambil langkah keselamatan lebih ketat - Utusan Malaysia

Pengendali e-hailing perlu ambil langkah keselamatan lebih ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali e-hailing seperti Grab dan MyCar perlu mengambil langkah-langkah keselamatan lebih ketat agar dapat melindungi pemandu dan pengguna yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pemandu e-hailing di negara ini, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, syarikat pengendali perkhidmatan itu juga harus memastikan semua penumpang berdaftar menggunakan kad pengenalan mereka supaya keselamatan para pemandu aplikasi tersebut lebih terjamin.

“MCPF memandang serius beberapa kes jenayah yang menimpa pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing sejak kebelakangan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada ketika ini, hanya pemandu Grab perlu memberikan butiran mereka dalam aplikasi tetapi tidak terpakai kepada penumpang yang membayar secara tunai. Penumpang yang membayar menggunakan kad debit menerusi GrabPay dikehendaki memberikan butiran mereka.

“Pengendali perkhidmatan e-hailing harus memastikan butiran penumpang seperti nama penuh, nombor identiti dan alamat boleh didapati dalam sistem untuk pemantauan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lalu, seorang pemandu Grab cedera selepas ditembak penumpangnya yang dipercayai warga Indonesia di Jalan FAC Matang, Kuching, Sarawak.

Mengulas lanjut, Lam Thye memberitahu, syarikat pengendali atau pemandu perkhidmatan e-hailing harus memasang kamera pada kereta masing-masing yang disambungkan menerusi dalam talian dan boleh disiarkan secara langsung ke ibu pejabat syarikat tersebut.

“Langkah ini bagi memastikan penumpang yang mempunyai niat buruk akan berfikir dua kali sebelum melakukan apa-apa. Malah, ini juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan e-hailing berfungsi dalam talian.

“Ia akan menghalang mana-mana penumpang bertindak sebarangan kerana tahu perbuatan mereka dirakam kamera,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini