KEMAMAN 1 Jun – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik meraikan 150 orang anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Cakna Anak Yatim Kemaman (Cakna) dan Pertubuhan Amal Siti Khadijah sempena majlis berbuka puasa di Norita Tomyam, Kemasik malam tadi.
ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, usaha yang ditunjukkan oleh Cakna dan Pertubuhan Amal Siti Khadijah membantu anak yatim harus diberi pujian dan dijadikan ikutan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain.
Kedua-dua pertubuhan ini sangat aktif melakukan kerja-kerja kebajikan sekitar daerah Kemaman dan ia boleh dijadikan NGO contoh kepada pertubuhan yang lain.
“Saya sokong usaha sebegini kerana NGO juga ada peranan tersendiri dalam menjalankan tanggungjawab mereka membantu kerajaan menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan,” katanya.
Saiful Azmi turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Cakna dan Pertubuhan Amal Siti Khadijah yang berjaya tampil dengan usaha dan inisiatif sendiri dan tidak menunggu bantuan kerajaan dalam melakukan tugasan kebajikan.

ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili menyampaikan sumbangan buah kurma kepada salah seorang anak yatim sempena majlis berbuka puasa DUN Kemasik bersama anak yatim dan asnaf di Norita Tomyam, Kemasik malam tadi. – UTUSAN ONLINE/MUKHATAR A. RAHMAN
Pada majlis tersebut seramai 150 orang anak yatim dan anak asnaf kawasan Kertih, Kemasik, Kijal dan Ibok diraikan dan mereka turut menerima sumbangan beras dan ‘duit raya’ bernilai RM50 setiap seorang sebelum berbuka puasa beramai-ramai.
Sementara itu, Bendahari Cakna, Azmi Ismail berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bolehlah terus ke akaun atas nama Pertubuhan Cakna Anak Yatim Kemaman melalui akaun Bank Islam 13026010051519 atau 563028607106 (Maybank).
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan juga boleh menghubungi Azmi secara terus menerusi talian 013-9211711. – UTUSAN ONLINE











