KUALA LUMPUR 1 Jun – Hukuman denda diyakini lebih sesuai dikenakan terhadap Danial Tan Abdullah, 31, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Botak’ kerana mengambil kira beberapa faktor mitigasi termasuklah pengakuan salah dan keinsafan yang dinyatakan oleh tertuduh.
Perkara itu disuarakan secara bersama oleh Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan dan Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Damansara, Farhan Haziq Mohamed yang berpendapat, Majistret Nurshahira Abdul Salim terkhilaf membuat keputusan dalam mengenakan hukuman penjara tersebut walaupun Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun.
Mereka berharap, pembantu stor itu mengemukakan rayuan atau memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula hukuman yang dikenakan.
“Tertuduh juga punya pilihan untuk memohon supaya hukuman penjaranya digantung sementara menunggu rayuan atau semakan Mahkamah Tinggi. Dilaporkan bahawa tertuduh ada melantik peguam dan kami yakin langkah terbaik akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan terhadap tertuduh selepas pengakuan bersalah melakukan khianat ke atas kereta Perodua Axia milik Siew Chean View, 58, dengan mengetuk cermin hadapan menggunakan topi keledar di Seri Kembangan dekat sini pada pukul 5.30 petang, 28 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Syahredzan dan Farhan Haziq berpandangan, hukuman penjara bukanlah bentuk balasan setimpal dan penyelesaian sesuai bagi setiap individu yang melalui sistem keadilan jenayah di negara ini.
Tegas mereka, dengan meletakkan pesalah dalam penjara, sebenarnya menjarakkan pesalah dengan masyarakat serta boleh membawa impak negatif kepada pesalah.
Oleh itu, cadangan mereka supaya pihak kerajaan meluaskan pemakaian hukuman khidmat masyarakat melangkaui peruntukan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah sahaja.
“Untuk makluman, Seksyen 293 membenarkan mahkamah mengenakan hukuman khidmat masyarakat kepada ‘pesalah muda’, iaitu mereka yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun.
“Hukuman khidmat masyarakat memberi peluang pesalah untuk membetulkan kesalahannya dengan cara melakukan kebaikan kepada orang lain dalam tempoh tertentu. Ini adalah lebih baik kepada pesalah dan juga masyarakat secara amnya.
“Hukuman khidmat masyarakat ini bukanlah asing dalam sistem keadilan jenayah negara, tetapi ia perlu diperluaskan kepada pesalah-pesalah lain mengikut kesesuaian melalui pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah. Kami bersetuju dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang sebelum ini mencadangkan hukuman khidmat masyarakat sebagai usaha alternatif kepada hukuman pemenjaraan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











