Lans Koperal Mohd. Ishraf temui ajal ketika bertugas - Utusan Malaysia

Lans Koperal Mohd. Ishraf temui ajal ketika bertugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut ketika melakukan tugas bersama rakan setugas sebelum dirempuh sebuah motosikal dalam kemalangan di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri di sini pagi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.40 pagi itu, Koperal Mohd. Ishraf Ismail, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Kemalangan itu turut menyebabkan rakan sepasukannya, Muhammad Syakir Safwan Khairudin, 29, serta penunggang motosikal Yamaha 135LC, Thevarajan, 36, cedera parah dan dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, semasa kejadian, kedua-dua anggota polis dari Balai Polis Tampoi sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah van dibahu jalan laluan terbabit.

“Tiba-tiba datang sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah Perling menuju ke Plaza Tol Perling telah terlanggar kedua-dua anggota polis terbabit.

“Akibat rempuhan itu, seorang anggota iaitu pemandu kereta peronda (MPV) maut di tempat kejadian manakala seorang lagi anggota dan penunggang motosikal cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. sempat meluangkan masa melihat sendiri kemalangan itu di lokasi kejadian dan ditemani Mohd. Taib sebelum mengadakan lawatan anggota cedera di HSA.

Mohd. Taib berkata, mayat anggota polis dihantar ke HSA untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini