PUTRAJAYA 1 Jun – Seorang lelaki dari Kuching, Sarawak disahkan maut akibat jangkita rabies atau anjing gila.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berumur 26 tahun itu meninggal dunia semalam pada pukul 9.51 pagi di Hospital Umum Sarawak.
“Jumlah kes rabies di Sarawak sejak wabak ini diumumkan pada 1 Julai 2017 adalah 18 kes termasuk 17 kematian.
“Hanya seorang mangsa selamat iaitu kanak-kanak berumur sembilan tahun, namun mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, lelaki tersebut mendapat jangkitan rabies akibat dicakar anjing yang dipungut dan status vaksinasi haiwan itu tidak diketahui.
Justeru katanya, orang ramai khususnya di Sarawak dinasihatkan untuk tidak mengambil atau memungut anjing dan haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun berada dalam kawasan kejiranan.
Sejak 1 Julai 2017 hingga 30 Mei lalu katanya, Sarawak telah mengisytiharkan 62 kawasan di 11 bahagian sebagai kawasan jangkitan rabies dengan Limbang masih bebas penyakit berkenaan.
“Kerjasama orang ramai mematuhi semua saranan kerajaan amat diperlukan bagi mengawal populasi anjing di negeri itu.
“Sila pastikan haiwan peliharaan khususnya anjing telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies setiap tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE











