KANGAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) zon Kuala Perlis akan mempertingkatkan rondaan dan operasi di perairan negara bagi mencegah aktiviti pencerobohan dan penyeludupan.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, fokus utama operasi tersebut adalah untuk mencegah penyeludupan bunga api, mercun dan barang-barang kawalan di kawasan sempadan negara selain membendung penyeludupan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya pada musim perayaan ini.
“Setiap kali Ramadan sehingga menjelangnya Syawal, penguatkuasaan dan rondaan pastinya akan dipertingkatkan daripada kebiasaan bagi membendung sebarang aktiviti jenayah di laut.
“Oleh itu, aset-aset sedia ada akan diatur dan digerakkan bagi membuat rondaan tersebut.
“Pihak Maritim akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Utara semenanjung negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan dan penyerahan bingkisan raya kepada anggota yang bertugas pada lebaran di sini, semalam.
Sementara itu, beliau juga meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya.- UTUSAN ONLINE











