Luahan pesawah hidu bau busuk dapat perhatian - Utusan Malaysia

Luahan pesawah hidu bau busuk dapat perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Luahan para pesawah di Utan Aji di sini yang terpaksa menghidu bau busuk di kawasan itu sejak lima tahun lalu mendapat perhatian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi tersebut pada Khamis dan semalam.

Dalam masa sama, Pengarahnya, Mohd. Hidy Md Dzahir berkata, pihaknya juga akan

menjalankan penguatkuasaan secara berkala di lokasi tersebut bagi mencegah perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pihak itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, masalah tersebut berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk dan juga kontraktor yang sering mengambil jalan mudah membuang sampah di lokasi itu tanpa memikirkan kesan terhadap orang awam serta persekitarannya.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterima, pihaknya bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah ke lokasi berkenaan pada 29 Mei lalu dan mendapati kawasan tersebut berada di atas rezab tanah milik agensi itu.

“Tinjauan dan siasatan yang dibuat di lokasi tersebut mendapati jenis sampah yang dibuang adalah daripada sisa domestik, kebun dan lebihan sisa binaan. Hasil daripada pemerhatian, kita juga mendapati tiada fasiliti tong sampah yang disediakan bagi kemudahan penduduk membuang sampah di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun perkara tersebut bukanlah alasan untuk penduduk membuang sampah. Sikap negatif itu yang menyebabkan kawasan itu menjadi kotor dan juga menjejaskan kawasan pertanian di lokasi tersebut.

“Pihak MADA memaklumkan kerja – kerja pembersihan sampah haram di lokasi tersebut telah dilakukan pada 30 dan 31 Mei lalu dan seterusnya penguatkuasaan akan dijalankan secara berkala di lokasi tersebut oleh pihak SWCorp,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kawasan yang menjadi tempat segelintir pihak melonggokkan sampah di kawasan berhampiran sawah, Utan Aji, Kangar telah dibersihkan semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan seramai 30 orang pesawah di Utan Aji di sini, terpaksa menghidu bau busuk sejak lima tahun lalu ekoran sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang melonggokkan sisa sampah di kawasan itu.

Dalam tempoh itu, bukan sahaja mereka mengalami gangguan psikologi setiap hari, tetapi lebih malang perbuatan pihak berkenaan telah mengakibatkan kawasan pertanian seluas 50 hektar itu kerap diserang makhluk perosak seperti tikus.

Berikutan padi yang dirosakkan tikus, mereka terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit setiap kali musim penanaman.

Sementara itu, Mohd. Hidy menasihatkan para penduduk dan kontraktor supaya tidak membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan kerana tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini