KUALA LUMPUR 31 Mei – Shahrul Saad bersedia menggalas tugas kapten Harimau Malaya bagi menghadapi Nepal dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini menggantikan Farizal Marlias.
Farizal adalah kapten yang baharu dilantik ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, namun penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat dipastikan sama ada boleh diturunkan atau sebaliknya kerana demam.
Pertahanan Perak, Shahrul yang merupakan penolong kapten berkata, walaupun ada pemain yang lebih senior daripadanya namun itu tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk memimpin pasukan.
“Saya fikir tanggungjawab yang diberikan ini cukup besar, jurulatih sudah memberi peluang jadi saya kena melaksanakannya dengan baik.
“Semua pemain profesional, ini cuma lilitan kapten.
“Apa yang penting dalam padang setiap pemain kena ada sikap positif,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai jangkaan peminat memandangkan Harimau Malaya mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam kempen Piala AFF tahun lalu, Shahrul berkata, sikap pemain itu sendiri memainkan peranan penting kepada pasukan.
“Setiap kali mewakili negara sudah tentu ada bebanan yang perlu dipikul.
“Sikap pemain penting, kami mahu mempertingkatkan lagi mutu permainan untuk mendapatkan kemenangan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Saya harap kita dapat kombinasi yang baik untuk perlawanan menentang Nepal nanti,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











