Syamsul Debat pernah dirotan mufti - Utusan Malaysia

Syamsul Debat pernah dirotan mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mei – Peristiwa dirotan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad ketika berada di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd. Said (SMKA SHAMS), Seremban antara kenangan yang masih segar dalam memori seorang penceramah motivasi popular di negara ini.

Syamsul Debat

Syamsul Amri Ismail, 41, atau Syamsul Debat berkata, hukuman itu diterima kerana beliau dan rakan-rakan berniat untuk tidak hadir ke sekolah dan menghabiskan masa di luar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masa itu pernah ponteng sekolah dan melepak bersama kawan-kawan di luar. Waktu itu, Datuk Mohd. Yusof merupakan pengetua di SMKA SHAMS sehinggalah ketidakhadiran kami ke sekolah dapat dihidu oleh guru-guru.

“Pada keesokannya, kese­mua pelajar yang ponteng sekolah itu dipanggil ke hadapan selepas perhimpunan dan kami dirotan seorang demi seorang. Lebih memalukan apabila kami semua disindir oleh pelajar lain sewaktu hendak berjalan pulang ke kelas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syamsul yang merupakan Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (Adam) terlibat aktif dengan ceramah motivasi serta program pembangunan kerjaya dan masyarakat.

Terkenal dengan sulaman lawak jenaka ketika menyampaikan ceramah dalam dialek Ne­geri Sembilan, Syamsul pernah tular di YouTube apabila video ucapannya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 mence­cah lebih empat juta tontonan.

Mengulas lanjut, Syamsul berkata, peristiwa itu benar-benar memberi pengajaran buat beliau dan rakan-rakan sehingga mereka tidak pernah lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan.

“Biasalah masa zaman budak-budak, kononnya kawan ajak keluar sebab bosan di sekolah. Sedangkan masa itu, tidak pernah ada masalah belajar dalam kelas pun.

“Tetapi peristiwa itulah yang mendidik sehinggalah kita dibentuk menjadi manusia pada hari ini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini