SEOUL, Korea Selatan – Korea Utara membunuh sejumlah pegawai utusan khasnya ke Amerika Syarikat (AS) susulan kegagalan persidangan kedua antara pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-un dan Presiden AS, Donald Trump di Hanoi, Vietnam pada Februari lalu, menurut laporan akhbar Korea Selatan semalam.
Akhbar Chosun Ilbo melaporkan salah seorang pegawai yang dihukum bunuh ialah Kim Hyok-chol, yang berusaha merealisasikan pertemuan di Hanoi itu dan mengiringi Jong-un menaiki kereta api persendirian.
Dia ditembak mati oleh satu skuad penembak kerana dipercayai mengkhianati pemimpin agung Korea Utara.
“Kim Hyok-chol dihukum bunuh pada bulan Mac lalu di Lapangan Terbang Mirim bersama empat pegawai kanan Kementerian Luar berikutan satu siasatan,” lapor akhbar itu dengan memetik sumber yang dirahsiakan. Nama pegawai lain tidak didedahkan.
Hyok-chol merupakan rakan sejawat bagi wakil khas AS, Stephen Biegun di persidangan di Hanoi.
Kementerian Penyatuan Korea Selatan yang mengendalikan hal-hal kaitan dalaman dua negara Korea enggan mengulas laporan berkenaan.
Akhbar itu turut melaporkan pegawai penterjemah Jong-un, Shin Hye-yong dihantar ke penjara kerana melakukan kesilapan semasa persidangan itu berlangsung.
Dia gagal untuk menterjemah cadangan baharu daripada Jong-un hingga menyebabkan Trump mengisytiharkan tiada persetujuan dicapai sebelum beredar daripada meja rundingan, lapor akhbar itu dengan memetik sumber diplomat.
Korea Utara mengundang tekanan antarabangsa selepas melakukan dua ujian peluru berpandu jarak dekat pada bulan lalu.
Selain itu, pegawai parti kanan, Kim Yong-chol turut dihantar ke sebuah kem buruh, dakwa akhbar sama. – AFP











