MADRID – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mula melancarkan serangan psikologi terhadap Tottenham Hotspur menjelang aksi final Liga Juara-Juara di Stadium Wanda Metropolitano awal pagi esok.
Klopp menegaskan, pemain-pemain yang dibawa ke perlawanan akhir kali ini merupakan skuad terbaik pernah dibentuknya sejak mengemudi pasukan itu sekali gus mahu menebus kekalahan kepada Real Madrid musim lalu.
Justeru, beliau berharap pasukan bimbingannya itu mampu membawa pulang trofi Liga Juara-Juara ke Anfield sekali gus menamatkan penantian selama 15 tahun sejak kali terakhir memenanginya pada tahun 2005 menewaskan AC Milan.
“Sebelum ini, saya tidak pernah melangkah ke perlawanan akhir dengan pasukan sebaik ini. Pemain-pemain Liverpool memiliki potensi cukup besar dan mereka juga menunjukkan karakter yang amat diperlukan untuk menjadi pasukan juara.
“Saya sebenarnya tidak jangka mampu melangkah ke final tetapi pasukan ini menunjukkan keyakinan yang sangat tinggi ketika menyingkirkan Barcelona di separuh akhir. Walaupun ketinggalan tiga gol tetapi mereka tetap percaya pada kemampuan diri,” kata Klopp.
Pada masa sama, bekas pengendali Borussia Dortmund itu berkata, peluang kini terbuka luas buat pemain-pemain The Reds bagi menebus kekecewaan yang dialami ketika tewas kepada Real pada perlawanan akhir tahun lalu.
“Kebanyakan pasukan tidak dapat peluang untuk baiki kelemahan pada perlawanan akhir tetapi kami mendapat peluang tersebut. Tahun lepas kami hanya mahu layak ke final namun kali ini kami tekad untuk memenanginya,” ujarnya. – Agensi











