KUALA LUMPUR 31 Mei – Aspek penguatkuasaan perlu juga diberikan keutamaan oleh kerajaan sebagai langkah mengurangkan risiko dan jumlah kemalangan selain langkah menurunkan kadar had laju kenderaan sempena musim perayaan.
Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penetapan had laju merupakan antara langkah yang boleh mengurangkan kemalangan maut namun aspek penguatkuasaan juga adalah amat penting.
“Tidak ada gunanya jika had laju diturunkan tetapi pemandu dan penunggang motosikal bebas melanggar had tersebut tanpa sebarang tindakan.
“Pada masa yang sama, tahap kesedaran mengenai bahaya kelajuan juga perlu ditingkatkan dalam kalangan orang ramai melalui pelbagai kempen keselamatan jalan raya dan penerangan melalui pelbagai media,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, Kementerian Kerja Raya bertindak menurunkan kadar had laju kepada 80 kilometer sejam di Jalan Persekutuan dan 70 kilometer sejam di Jalan Negeri.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, penurunan kelajuan sebanyak 10 kilometer sejam masing-masing itu akan berkuat kuasa selama 15 hari bermula kelmarin sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, tambah Lam Thye, langkah Kementerian Kerja Raya itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana pihak berkuasa sememangnya telah menurunkan had laju di lebuh raya, Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri setiap kali musim perayaan.
“Ia merupakan antara langkah yang diambil bagi mengurangkan risiko dan jumlah kemalangan selain memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan ini.
“Statistik menunjukkan punca-punca berlakunya kemalangan maut di jalan raya ialah memandu laju, memandu secara cuai dan membelok secara merbahaya,” katanya.
Tambahnya, bagi penunggang motosikal pula penyebab utama kemalangan ialah menunggang dengan laju, membelok secara merbahaya dan memotong secara merbahaya. – UTUSAN ONLINE











