KUALA LUMPUR 31 Mei – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Hari Raya Aidifitri berjumlah RM300 setiap orang kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.
Hal itu mengesahkan surat yang sudah tular dalam media sosial sejak semalam mengenai arahan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kepada Felda untuk melaksanakan bayaran bantuan khas tersebut.
Menurut laporan portal Astro Awani, perkara itu disahkan oleh Dr. Mahathir dalam satu sidang media khas bersama wartawan Malaysia bagi merumuskan lawatan kerja beliau selama tiga hari ke Jepun, yang berakhir hari ini.
Dr. Mahathir dilaporkan berkata, bantuan yang dijangka membabitkan peruntukan berjumlah RM34 juta itu telah dimuktamadkan memandangkan masalah kewangan peneroka Felda ketika ini.
“Ya, kami akan memberi (bantuan) kepada mereka. Kerajaan akan membelanjakan RM30 juta, tetapi memandangkan mereka sedang menghadapi masalah, maka kami sanggup berbuat demikian.
“Tetapi golongan peneroka haruslah deliver (prestasi yang baik). Jangan mengambil buah yang mereka tidak tanam,” katanya yang dipetik daripada laporan Astro Awani.
Semalam tular sepucuk surat rasmi kerajaan, ditandatangani bagi pihak Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, dan ditujukan kepada Pengarah Besar Felda Datuk Dr. Othman Omar bertarikh 30 Mei, yang menyatakan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Mei lepas memutuskan bantuan berkenaan.
Berdasarkan kandungan surat itu juga, Felda dimohon membuat pembayaran tunggakan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka yang terlibat.
“Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) menyarankan supaya Felda membuat pembayaran Bantuan Khas Hari Raya tersebut dan tunggakan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dengan kadar segera sebelum sambutan Hari Raya Aidilftri bagi meringankan beban peneroka untuk menyambut Aidilfitri tahun ini,” menurut surat itu.
Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata pentadbiran Pakatan Harapan (PH) lebih berhasrat memberi keutamaan sumber bagi menyelamatkan Felda melalui rancangan pemulihan bernilai RM6.23 bilion yang diumumkan di Parlimen pada 10 April lalu berbanding memberikan bantuan kewangan dan kebendaan.
Kenyataan beliau itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak memandangkan peneroka kini hidup tertekan akibat kejatuhan harga komoditi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri meminta kerajaan supaya mempertimbangkan rayuan untuk pemberian insentif Hari Raya Aidilfitri kepada peneroka Felda.
Pada tahun lalu, peneroka Felda di seluruh negara menerima insentif hari raya sebanyak RM450. – UTUSAN ONLINE











