KUALA LUMPUR 31 Mei – Warga Markas Tentera Darat diingatkan supaya sentiasa melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan tulus dan ikhlas.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi turut berpesan agar warga Tentera Darat sentiasa mengutamakan keselamatan dan memandu dengan berhemah sepanjang musim perayaan ini.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Markas Tentera Darat sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Dewan Serbaguna, Rumah Keluarga Angkatan Tentera Desa Setia Wira di sini, kelmarin.
Seramai 778 warga Markas Tentera Darat yang merangkumi pelbagai pangkat hadir ke majlis tersebut.
Dalam majlis yang sama, Ahmad Hasbullah turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada beberapa pegawai dan anggota yang akan bertugas semasa hari perayaan itu serta menyampaikan dua kompilasi Siri 1 dan Siri 2 Dari Meja PTD kepada semua Ketua Kerani dalam Markas Tentera Darat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan PTD, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Ketua Staf Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi serta ketua-ketua bahagian, cawangan dan jabatan Tentera Darat. – UTUSAN ONLINE








