Khatam al-Quran 100 kali di Madinah Ramadan - Utusan Malaysia

Khatam al-Quran 100 kali di Madinah Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di Malaysia, Kelantan merupakan negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah. Jika bersiar-siar atau bermudik di sekitar negeri di Pantai Timur itu, pasti ditemui banyak elemen keislaman.

Dengan wajah pembangunan yang bercorakkan Islam, penulis merasakan seolah-olah berada di tanah Arab.

Tulisan jawi yang terpapar di sana sini dan pohon-pohon kurma di ibu negerinya bagai menterjemahkan lagi gelaran Serambi Mekah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suasana Ramadan di Kelantan juga istimewa terutamanya dengan kewujudan Madinah Ramadan apabila bulan mulia itu dihidupkan sepanjang masa, dari siang ke malam.

Madinah Ramadan merujuk kepada program mega Ihya Ramadan di Kota Bharu yang berlangsung dengan pembinaan khemah di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV.

Setiap hari, ribuan pengunjung yang rata-ratanya datang dari pelosok negeri itu ke ‘perkampungan’ tersebut untuk bersahur, bertadarus al-Quran, bermunajat, menunaikan solat Tarawih, berqiamullail serta melakukan amalan kebajikan yang lain.

Madinah Ramadan yang berlangsung setiap kali Ramadan sejak tahun 2005 itu juga dikunjungi pengunjung dari luar negeri dan pelancong dari luar negara.

Menjelang akhir Ramadan ketika perburuan lailatul qadar kian memuncak, ibadah dipertingkat dan Majlis 100 Kali Khatam Al-Quran turut diadakan. Penulis turut berkesempatan menyaksikan kemeriahan majlis tersebut yang dihadiri lebih 4,000 pengunjung sempena Nuzul al-Quran baru-baru ini.

Terpikat

Keindahan ibadah di Madinah Ramadan begitu terserlah apatah lagi apabila ulama dari Mesir iaitu Syeikh Hesham Abdul Bari dijemput bagi menjadi imam sepanjang Ramadan di perkampungan tarbiyyah itu.

Beliau yang telah menjadi imam selama lapan tahun berturut-turut di Madinah Ramadan menyatakan betapa rasa syukur dan gembiranya dapat menunaikan ibadah di bulan Ramadan bersama penduduk dan pengunjung yang bertandang ke situ.

“Saya sangat gembira berada di Malaysia khususnya di Kelantan kerana budayanya sama seperti di Mesir yang menghidupkan malam-malam Ramadan dengan membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

“Jadi, saya tidak berasa terasing berada di sini. Tambahan pula, penduduknya baik hati dan peramah,” ujarnya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Bertutur lanjut, Syeikh Hesham memberitahu, hatinya telah terpikat dengan Kelantan dan tetap ingin menjadi imam di negeri itu sehingga terpaksa menolak tawaran menjadi imam di tempat lain.

Katanya, setiap tahun pasti mendapat tawaran lumayan bagi menjadi imam di luar negara termasuklah di Eropah dan negara-negara Asia lain seperti Indonesia dan Sri Lanka. Namun, dirinya masih setia di Madinah Ramadan.

Beliau yang berilmu tinggi dalam pengajian al-Quran itu bercita-cita mahu terus menyuburkan syiar Islam di Kelantan dengan menjadi Mudir Akademi al-Quran dan Qiraat di Kelantan.

Di sebalik kejayaan sambutan program Ihya Ramadan itu yang telah mula dirancang oleh kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 2005, Pengarah Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Ropein Hasan berkata, dahulunya program tersebut lebih dikenali sebagai Kariah Ramadan.

“Pada permulaannya, keadaan dataran di Madinah Ramadan ini tidak begitu baik tetapi atas sokongan oleh Exco Kerajaan Tempatan ketika itu iaitu Datuk Takiyuddin Hassan mencadangkan kepada kerajaan negeri, maka terhasillah dataran yang luas serta cantik pada hari ini.

Khatam

Malah, pada tahun 2013, program ini telah dibentangkan dan memenangi kategori Festival Terbaik oleh Organisasi Promosi Pelancongan Asia Pasifik di Busan, Korea Selatan kerana berjaya mengumpul jemaah serta pengunjung hampir 3,000 orang pada setiap malam sepanjang bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, sambutannya amat memberangsangkan dari tahun ke tahun apabila lebih 4,000 pengunjung menghadiri Madinah Ramadan sempena Nuzul al-Quran pada malam 17 Ramadan kali ini berbanding jangkaan awal hanya 3,000 orang,” ujarnya.

Jelasnya, program itu mendapat tempat di hati pengunjung dan para pelajar yang datang ke Madinah Ramadan sempena program Ihya Ramadan. Pihaknya juga telah mengedarkan mashaf al-Quran sebanyak 4,000 naskhah kepada orang ramai.

Mengulas lanjut mengenai Majlis 100 Kali Khatam Al-Quran itu, beliau memberitahu, setiap orang dalam 3,000 peserta iaitu jumlah peserta yang disasarkan akan membaca satu juzuk al-Quran. Al-Quran mempunyai 30 juzuk, bermakna dengan jumlah 3,000 peserta itu 100 kali al-Quran dapat dikhatamkan. Bagaimanapun, pihaknya bersyukur jumlah itu melebihi sasaran.

“Dalam pada itu, kita juga akan menghidupkan lagi malam-malam 10 terakhir Ramadan yang mana akan diadakan Majlis Seribu Ta’ibin pada malam 27 Ramadan khususnya bagi melakukan amalan-amalan seperti bermunajat, bertahajud, berzikir, selawat dan solat taubat secara berjemaah,” tambahnya.

Katanya, program Ihya Ramadan yang dianjurkan berkonsep derma orang ramai itu juga setakat ini sudah mencapai RM1.6 juta, hampir mencapai kos keseluruhan yang dibentangkan iaitu RM2.1 juta.

Kemeriahan

Sementara itu, antara peserta pada majlis itu adalah seorang pelajar, Wan Muhd. Azrul Wan Rosman, 15, berkata, membaca al-Quran secara beramai-ramai semasa tadarus dan Majlis 100 Kali Khatam Al-Quran membuat rasa seronok dan tidak mudah jemu.

“Program ini amat baik untuk semua orang. Dalam sehari, saya akan membaca satu juzuk al-Quran setiap kali selepas menunaikan solat fardu.

“Kebiasaannya, kita akan membaca al-Quran secara berkumpulan iaitu sekurang-kurangnya 15 orang,” katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Turut berkongsikan pendapat sama, seorang pelancong bukan Islam dari Jepun, Eriko Kamiji, 22, berkata, ia suatu pengalaman yang amat berharga apabila dapat merasai suasana serta kemeriahan umat Islam khususnya di Kelantan meraikan bulan mulia itu.

Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki di Kelantan, sebelum ini hanya mengetahuinya melalui rakan-rakan dan pembacaan tentang keunikan yang terdapat di negeri itu.

“Saya berasa sangat bertuah kerana banyak tempat menarik yang boleh diterokai di Kelantan. Misalnya, saya melihat bagaimana umat Islam di sini menunaikan solat Tarawih secara berjemaah, bertadarus al-Quran, berqiamullail awal pagi, berbuka puasa dan bersahur.

“Ia sekali gus menarik minat saya untuk lebih mengenali Islam dengan lebih dekat selain budaya penduduk di sini,” ujarnya.

Pada minggu-minggu terakhir Ramadan, Madinah Ramadan di Kota Bharu, Kelantan terus menghidupkan amal ibadah demi mengejar kelebihan beribadah pada bulan penuh keberkatan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini