DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu – Sebuah restoran yang dimiliki cef selebriti dari Turki, Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce menawarkan satu hidangan stik yang disadur daun emas 24 karat pada harga 1,250 dirham (RM1,430), lapor akhbar Daily Mail.
Restoran Nusr-Et milik cef berkenaan turut menawarkan pilihan makanan stik tanpa saduran emas 24 karat pada harga serendah 340 dirham (RM390.
Seorang pelanggan yang enggan dikenali menyatakan ia adalah stik terbaik yang pernah dirasainya, namun tidak pasti sama ada saduran emas itu memberi kesan terhadap rasa hidangan berkenaan.
“Daging stik itu dipotong dan dimasak di meja anda dan cef seakan-akan melakukan pertunjukan pantomim secara langsung.
“Ia bermula dengan satu ketulan emas dibawa ke meja dan pertunjukan itu tamat apabila cef menabur garam daripada tangannya sebelum dia menikam pisau di atas meja,” katanya.
Emas 24 karat boleh dimakan manusia kerana emas tulen tidak menimbulkan tindak balas kimia dan material berharga yang dimakan itu akan dicerna oleh sistem pencernaan tanpa diserap ke dalam badan.
Restoran Nusr-Et popular dalam kalangan selebriti dan antara individu yang pernah berkunjung ke premis itu termasuk pemain bola sepak David Beckham, pelakon Leonardo DiCaprio dan penyanyi Puff Diddy. – Agensi











