JOHOR BAHRU 28 Mei – Pasukan Pocek muncul johan Tournament Ramadan-Futsal League 2019 berjaya mengalahkan 79 pasukan lain yang datang dari seluruh negara di Sports Prima Pandan di sini malam tadi.
Kejayaan tersebut membolehkan pasukan itu membawa pulang RM3,000 manakala pasukan FB Rovers meraih tempat kedua (RM700), Ale Ale (RM500) dan Monuha (RM300) serta semuanya turut membawa pulang trofi, pingat dan hamper.
Futsal anjuran syarikat minuman tenaga Drive M7 itu adalah untuk kali keempat yang menampilkan 80 pasukan dari seluruh Johor selain dari Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur melibatkan peserta dari usia 16 hingga 45 tahun.
Kejohanan futsal tersebut hanya mempertaruhkan kategori Lelaki Terbuka yang bermula dari pukul 10 malam tadi hingga 4 pagi ini.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Drive M7, Datuk Mokhtar Ahmad dengan diiringi Pengarah Mutiara Motorsports Sdn. Bhd. Mahathir Ahmad; Pengurus Sports Prima Pandan, David Goh dan Pengurus Besar Success Monza Sdn. Bhd., Fauziana Ahmad Puad.
Menurut Mokhtar, penyertaan pada kali ini paling ramai berbanding 45 pasukan pada tahun sebelum ini sekali gus menunjukkan peningkatan dan kejohanan tahunan futsal tersebut semakin mendapat temapt dalam kalangan peminatnya.
“Selain kejohanan futsal ini juga unik kerana diadakan pada setiap kali Ramadan. Strategi kita adalah kerana pada setiap kali bulan suci ini biasanya tidak banyak aktiviti sukan, jadi kita ambil peluang ini untuk golongan muda beriadah dan bersosial.
“Kita hanya ambil pemain-pemain amatur supaya mereka dapat meningkatkan kemahiran dan kebolehan masing-masing dalam sukan ini. Kita juga mahu mengasah bakat-bakat baharu dalam sukan ini,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, David Goh berkata, kejohanan tersebut mendapat sambutan menggalakkan kerana menawarkan hadiah lumayan selain dianjurkan M& iaitu sebuah syarikat minuman tenaga yang terkenal di negara dan negeri ini.
“Kita boleh lihat semasa kejohanan futsal ini berlangsung, ada tempat lain juga menganjurkan futsal pada sebelah malam tetapi kurang mendapat sambutan. Tournament Ramadan-Futsal League 2019 kini semakin dikenali dan dinanti-nantikan,” katanya.
Dalam pada itu, bagi mana-mana pihak yang memerlukan pengedar air minuman tenaga Drive M7 di setiap negeri boleh berhubung dengan Zizie 011-37719266 untuk sebarang pertanyaan. – UTUSAN ONLINE











