KUALA LUMPUR 28 Mei – Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman menegaskan dakwaan berlaku lambakan harumanis di Perlis adalah tidak benar.
Katanya, industri harumanis yang sedikit perlahanan ketika ini tidak perlu dijadikan isu memandangkan permintaan buah tersebut dijangka meningkat pada Hari Raya Aidilfitri ini.
“Saya telah mendapat penjelasan daripada Pengarah LPP Perlis, Azizul Lebai Ishak mengenai isu lambakan ini dan beliau mengesahkan ia tidak benar. Bahkan, buah ikon Perlis ini masih lagi dijual dengan harga RM100 bagi setiap tiga kilogram.
“Kita jangkakan permintaan buah ini akan meningkat berlipat kali ganda pada Hari Raya Aidilfitri ini memandangkan ramai warga kota akan pulang ke kampung khususnya di bahagian Utara tanah air. Perkara ini tentu sekali akan menggembirakan para pengusaha harumanis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pasar Peladang 2019 di Menara LPP di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











