KUALA LUMPUR 27 Mei – Pengelasan golongan pendapatan yang diguna pakai hari ini iaitu 40 peratus golongan berpendapatan rendah dikelaskan sebagai B40, 40 peratus berpendapatan sederhana (M40) dan 20 peratus berpendapatan tertinggi (T20) disifatkan sebagai tidak tepat.
Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pecahan yang sepatutnya digunakan adalah B60, M20 dan T20.
Hujah beliau, pada ketika ini lebih 50 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan yang secara relatifnya rendah maka pengelasan terbaharu itu dapat membantu kerajaan menyasarkan bantuan kepada golongan memerlukan dengan lebih berkesan.
“Lebih 50 peratus daripada isi rumah di Malaysia memperoleh pendapatan kurang daripada RM2,000. Ini statistik daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kemudian kos sara hidup minimum di Malaysia adalah RM2,500.
“Jadi kumpulan yang 50 peratus ini memang kumpulan miskin relatif. Kalau kita naik sikit jadi B60, baru kita katakan ini kumpulan yang masih perlukan pertolongan dan dia perlu diberi keutamaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah beliau, ia juga dapat mengatasi masalah golongan M40 yang sebelum ini sering merintih kerana dipinggirkan daripada bantuan kerajaan walaupun mempunyai pendapatan yang belum mencukupi.
Mengulas berkenaan layanan kerajaan terhadap golongan berpendapatan tinggi, Barjoyai menjelaskan apa yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini adalah betul walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki.
Kata beliau, mengikut konsep keadilan menegak (vertical equity), golongan berpendapatan tinggi memang akan dicukai dengan lebih tinggi bagi mengurangkan jurang antara golongan kaya dengan miskin.
“Kalau kita tidak ambil kira keadilan menegak, kita sampai bila-bila tidak akan dapat menyelesaikan isu jurang pendapatan antara penduduk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan dasar yang boleh ‘memaksa’ golongan bumiputera untuk menceburi bidang keusahawanan supaya selain jurang pendapatan antara kelas, jurang antara kaum juga dapat dirapatkan.
“Kalau kita lihat kira-kira 80 peratus bumiputera ada dalam bidang kerjaya. Dalam bidang kerjaya ini tahap pendapatannya jauh lebih rendah berbanding bidang perniagaan.
“Selagi struktur ekonomi kita menekankan sektor pekerjaan mengikut satu-satu kaum, selagi itu kita akan lihat jurang semakin membesar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











