IPOH 27 Mei – Pakatan Harapan (PH) Perak menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung larangan salah guna masjid dan surau untuk ceramah dan aktiviti berbentuk politik kepartian.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PH Perak turut menjunjung ketegasan baginda berhubung tiga program di masjid di negeri ini yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, titah berkenaan bertepatan dengan pendirian Bersatu dan PH Perak yang menolak sebarang perbuatan menyalahgunakan rumah-rumah ibadah khususnya masjid dan surau untuk menganjurkan program berunsur politik kepartian.
“Ini juga selari dengan pendirian Bersatu dan PH Perak yang konsisten dalam menolak politik kepartian sempit serta menggunakan sensitiviti agama dan kaum untuk meraih sokongan.
“Bersatu dan PH sama sekali tidak bersetuju dengan politik perpecahan yang dibawa oleh parti-parti tertentu.
“Apatah lagi jika ia berisiko menjejaskan keharmonian masyarakat negara ini yang berbilang kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











