KOTA TINGGI – Tindakan dua buah kapal asing berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur mengundang padah apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Khas Pagar Laut petang semalam.
Dalam operasi pada pukul 3.50 petang itu, kapal tangki tanpa muatan yang berdaftar di Republik Dominika ditahan ketika berlabuh di kedudukan 3.2 batu nautika timur Tanjung Penyusop di sini.
Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, penahanan dilakukan setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari Pengarah Jabatan Laut.
“Manakala kapal jenis Self Propelled Barge berdaftar di Singapura ditahan pada pukul 5.30 petang di kedudukan 2.6 batu nautika timur Tanjung Penyusop.
“Penahanan dilakukan setelah didapati kapal tersebut gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut dan kru tidak mencukupi seperti Safe Manning Certificate,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zulfadli berkata, kapal pertama yang ditahan dikendalikan oleh tujuh kru termasuk nakhoda berumur lingkungan 32 hingga 46 tahun.
Jelasnya, manakala kapal kedua ditahan dikendalikan 12 kru termasuk nakhoda berumur lingkungan 22 hingga 49 tahun.
Menurut beliau, kesemua kru kedua-dua kapal adalah daripada warganegara Indonesia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.
Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
Manakala bagi Seksyen 72(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu kru kapal tidak mencukupi boleh didenda sehingga RM100,000. – K! ONLINE










