ROME 27 Mei – Juventus akhirnya menjelaskan perkara sebenar apabila memberitahu bahawa mereka tidak pernah merancang mahu mendapatkan pengurus Manchester City, Pep Guardiola malah tiada langsung perbincangan antara kelab itu dengan pengurus warga Sepanyol berkenaan.
Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa kelab gergasi Itali itu mahu mendapatkan Guardiola bagi memperkuatkan kempen musim baharu mereka namun kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan menafikan perkara itu.
Pengarah Sukan Juventus, Fabio Paratici berkata, pihaknya amat pelik apabila kelab dikaitkan dengan keinginan bagi mendapatkan Guardiola.
“Ia dunia yang aneh, kami tidak pernah berhubung dengan Guardiola dan langsung tidak pernah berfikir mengenainya kerana beliau masih mempunyai kontrak.
“Kami mahu membina pasukan yang terbaik dan akan bertindak mengikut cadangan pengurus baharu.
“Buat masa ini kami akan menunggu sehingga penghujung musim kerana ketika ini masih ada persaingan sedang berlangsung dan saya fikir kami sepatutnya mendiamkan diri bagi menghormati orang lain,” kata Paratici.
Juventus mengesahkan gelaran kelapan berturut-turut Serie A beberapa minggu lalu dan sedang berusaha mendapatkan jurulatih baharu selepas menyingkirkan Massimiliano Allegri daripada jawatan berkenaan bulan ini.
Keputusan menyingkirkan Allegri dipercayai ada kaitan dengan kegagalan Juventus dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini. – AFP










