Islam menuntut bersederhana pulang beraya - Utusan Malaysia

Islam menuntut bersederhana pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Mei – Islam menuntut umatnya supaya bersederhana dan tidak terlalu teruja sehingga hilang tumpuan untuk sampai ke destinasi ketika pulang berhari raya di kampung.

NIK OMAR NIK ABDUL AZIZ
NIK OMAR NIK ABDUL AZIZ 

Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, sikap gopoh, hilang sabar dan pertimbangan fikiran yang goyah dikenal pasti sebagai punca kemalangan terbesar berbanding faktor mekanikal dan fizikal.

Beliau berkata, meskipun kemalangan kerap dilaporkan saban tahun, namun ia tidak banyak memberikan kesedaran, kerana angka kemalangan terus meningkat terutamanya menjelang musim-musim perayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Umat Islam juga seringkali menerima kemalangan sebagai takdir, walhal insiden itu sebahagian besarnya dapat dielakkan jika kita memandu dengan sabar, disiplin, tidak mementingkan diri dan mengambil langkah berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Omar sehubungan itu menasihatkan pengguna jalan raya yang mahu pulang ke kampung supaya berhati-hati kerana potensi berlakunya kemalangan adalah besar apabila terlalu banyak kenderaan di jalan raya.

Menurut beliau, berdasarkan kajian, sebanyak 80 peratus kemalangan disebabkan faktor kecuaian manusia, manakala hanya 10 peratus disebabkan faktor fizikal dan lain-lain.

“Langkah berhati-hati dan sentiasa beringat sebelum kena perlu diambil dan tidak sesekali

menyalahkan takdir kerana ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan keyakinan agama.

“Islam sentiasa menyuruh kita berhati-hati dan sentiasa mendoakan keselamatan,” katanya.

Nik Omar turut memetik firman Allah dalam ayat 195 Surah al-Baqarah untuk dijadikan panduan yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan.” – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini