NANNING, China 26 Mei – Shi Yuqi bangkit daripada ketinggalan untuk mengejutkan juara dunia, Kento Momota dan membawa tuan rumah, China merangkul kejuaraan badminton Piala Sudirman buat kali ke-11, hari ini.
Jepun tidak pernah memenangi kejohanan berpasukan campuran dunia itu, dan impian mereka untuk membawa pulang gelaran buat kali pertama berakhir dengan kekalahan 0-3 di Pusat Sukan Guangxi.
Penguasaan China itu sekali gus memberi amaran kepada pencabar mereka menjelang Sukan Olimpik di Tokyo, tahun depan.
Turun sebagai pilihan pertama, China, juara 2015, 2013, 2011, 2009, 2007, 2005, 2001, 1999, 1997 dan 1995 bermula langkah kanan selepas beregu utama mereka, Li Junhui-Liu Yuchen (No. 3 dunia) tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan pasangan No. 6 dunia, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 21-18, 21-10.
Aksi perseorangan wanita bagaimanapun berlangsung sengit selepas pemain No. 3 dunia, Chen Yufei dipaksa bertarung selama satu jam, 21 minit sebelum menundukkan pemain No. 4 dunia, Akane Yamaguchi 17-21, 21-16, 21-17.
Selepas kedudukan berpihak tuan rumah 2-0, pemain No. 1 dunia, Momota menggalas tanggungjawab berat untuk menghidupkan peluang pasukannya meneruskan cabaran ke saingan beregu wanita.
Bagaimanapun, tekanan itu gagal digalas dengan baik oleh pemain berusia 24 tahun itu apabila tewas 21-11, 5-21, 11-21 kepada pemain No. 2 dunia, Shi Yuqi dalam pertarungan satu jam, sembilan minit.
Shi Yuqi diserbu rakan-rakan sepasukan sebaik sahaja menghadiahkan kemenangan tidak diduga, sekali gus mengesahkan kedudukan China sebagai gergasi badminton dunia. – AGENSI










