Red Warriors perlu import baharu - Utusan Malaysia

Red Warriors perlu import baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 26 Mei – Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mahu mendapatkan tambahan pemain import terutama bagi posisi penyerang untuk memperkuatkan pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Dengan hanya seorang pemain import di posisi pertahanan ketika ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diharapkan dapat mencari pemain import yang boleh membantu pasukan itu keluar daripada dasar Liga Perdana yang masih berbaki enam perlawanan.

“Saya memikirkan posisi ‘striker’ begitu penting pada masa ini dan berharap pemilihan itu nanti biarlah bersesuaian dengan taktikal pasukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cuma sekiranya diberi peluang, saya sudah ada calon sendiri…tetapi tunggulah pertemuan dengan KAFA selepas ini untuk kata putus dan harap dapat capai hasil yang baik sebelum pintu perpindahan ditutup pada 29 Mei ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Terengganu FC II (TFC ll) di sini, malam tadi.

Yusri berkata faktor pemain import itu dilihat menjadi halangan terbesar untuk pasukannya mengatasi TFC ll pada perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Kelantan sekadar seri 2-2 dengan TFC ll biarpun dua kali mendahului pada minit ketiga dan ke-22 hasil jaringan pemain skuad kebangsaan bawah 23 tahun, Nik Azli Nik Alias dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Yusri berkata Terengganu turun dengan tiga tonggak import manakala Kelantan cuma memiliki Cassio Francisco yang bermain di bahagian pertahanan.

“Pemain tempatan kita boleh bermain dengan baik cumanya dari segi fizikal kita terlalu kecil dan terlalu muda untuk ‘stage’ yang sebegini. Justeru kita masih mengharapkan pemain import untuk memberi galakan dan tunjuk ajar yang sepatutnya untuk memantapkan lagi pasukan terutama untuk jentera serangan,” katanya.

Pasukan Kelantan berada pada kedudukan tercorot dalam saingan Liga Super dengan hanya sembilan mata, hasil dua kemenangan, enam seri dan enam kekalahan dalam 14 perlawanan.

Kelantan telah ditolak tiga mata dalam saingan Liga Perdana musim ini berikutan arahan yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran pelanggaran kontrak pasukan itu dengan bekas Pengarah Teknikal KAFA, Alfredo Carlos Gonzalez.

Sementara itu, pengendali TFC ll Tengku Hazman Raja Hassan pula berkata ketiadaan pemain tengah Dechi Marcel yang direhatkan kerana kecederaan menyebabkan bahagian tengah kurang berkesan kerana beliau merupakan perancang utama dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

TFC II pula berada pada kedudukan keempat liga dengan 23 mata. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini