LONDON 26 Mei – Jurulatih Itali, Roberto Mancini optimis pasukannya mampu meraih kecemerlangan dalam kempen Euro 2020.
Ketika ini prestasi Itali masih menjadi tanda tanya terutama selepas gagal beraksi dalam Piala Dunia 2018 biarpun berupaya mempamerkan permulaan hebat dalam saingan kelayakan Euro 2020 apabila meraih kemenangan ke atas Finland 2-0 dan Lichtenstein 6-0.
Kata Mancini, Itali mampu untuk mendapatkan kembali kepercayaan dalam kalangan penyokong mereka andai berupaya mencipta kecemerlangan seperti pernah dilakukan oleh Sepanyol dan Perancis.
“Kami adalah Itali dan mampu menjadi seperti Perancis serta Sepanyol dalam menuju era baru malah bagi saya ia detik hebat dalam bola sepak kami.
“Saya juga percaya jika kami melakukan kerja dengan baik, menampilkan bola sepak menyerang yang menghiburkan, kejayaan pasti berada di dalam tangan.
“Apa yang boleh saya katakan ketika ini ialah kami akan membuktikan kekuatan dalam kempen Euro 2020,” kata Mancini. – AGENSI











