JOHOR BAHRU 26 Mei – Sempena Syawal yang bakal menjelang, pasar mini Agro Bazar Kedai Rakyat di Jalan Kagung 1, Bandar Baru Uda di sini akan mengadakan Jualan Khas Aidilfitri mulai Selasa ini hingga 4 Jun ini.
Agro bazar selama seminggu itu menawarkan harga menarik dan berpatutan untuk orang ramai mendapatkan barangan keperluan kira-kira seminggu lebih awal sebelum kedatangan Aidilfitri.
Pengurusnya, Mohd. Razip Muhammad berkata, jualan itu akan bermula pukul 7 pagi hingga 4 petang yang menjual pelbagai barangan keperluan hari raya antaranya lauk-pauk, sayur-sayuran, ayam, daging lembu, ketupat dan lemang.
Mohd. Razip, 36, berkata, bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam tempoh tersebut pihaknya akan menjual enam ekor daging lembu segar dan kira-kira 3,000 ekor ayam dan tujuh ekor kambing.
“Sebagai menghargai para pelanggan kita turut menawarkan harga yang cukup menarik iaitu kurang lima peratus daripada harga kawalan iaitu RM34 bagi setiap sekilogram (kg) daging lembu dan RM7.50 sekilogram bagi ayam segar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini sebentar tadi.
Rakan niaganya, Rizal Hairuddin, 45, yang menjual sayur-sayuran, ikan basah dan pelbagai keperluan Aidilfitri, memberitahu pihaknya akan menambah antara tiga hingga empat kali ganda barangan keperluan tersebut.
Rizal berkata, antara barangan yang menjadi keperluan dan kemestian setiap kali Aidilfitri seperti kacang panjang, sengkuang, kerot, tahu, ketupat segera, tempe, tahu, pelbagai jenis serunding, cili, kobis, kacang panjang, daun ketupat dan kelongsong ketupat, serai serta lemang.
“Semua barangan yang dijual adalah produk segar dan diperolehi terus daripada pengusaha,” katanya.
Jelas Rizal, program jualan khas tersebut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri dan agensi-agensi berkaitan. – UTUSAN ONLINE











