JOHOR BAHRU 26 Mei – Mayat dipercayai seorang daripada dua nelayan yang hilang ketika menjaring ikan di Pulau Pisang dekat sini pada Khamis lalu ditemukan pada pukul 8.15 pagi ini di perairan Batu Pahat.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu kenyataan pagi ini memberitahu, mayat itu ditemukan terapung-apung kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat.
“Mayat ditemukan tim mencari dan menyelamat (SAR) dari Zon Maritim Batu Pahat sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat.
“Proses pengecaman dan pengecaman akan dilakukan oleh pihak keluarga mangsa,” demikian menurut kenyataan berkenaan.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang Khamis lalu, Mohd. Yusni Mohd. Yusof, 43, dan sepupunya, Mohd. Khair Ismail, 38, pergi ke pulau berkenaan untuk menjaring ikan sebelum tidak pulang semula ke rumah masing-masing.

Keluarga mereka yang bimbang dengan keadaan tersebut membuat laporan polis sebelum operasi dan gerakan mengesan mangsa dilakukan melibatkan pihak maritim, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, polis marin dan nelayan setempat. – UTUSAN ONLINE











