KOTA BHARU 26 Mei – Acara perlumbaan drag terbesar di negeri ini dengan penyertaan lebih 600 pelumba dari seluruh negara bakal berlangsung September ini sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020).
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) negeri, Mohd Aidil Afizie Daud berkata, program Karnival Permotoran dan Perlumbaan Drag 2019 itu akan diadakan di Auto City Tunjong di sini selama tiga hari bermula 5 September sehingga 7 September hadapan.
Beliau berkata, karnival anjuran Kelab Lumba Kereta Ikan Lumba-lumba (DDC) itu mendapat sokongan dan kerjasama sepenuhnya pihak MOTAC negeri demi memastikan acara ini mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan luar negara.
“Ini sebenarnya perlumbaan drag siri ketiga yang dianjurkan pihak DDC selepas siri pertama pada September tahun lalu dan siri kedua Mac tahun ini.

“Pihak MOTAC negeri menyedari inisiatif DDC yang berusaha menganjurkan perlumbaan drag ‘halal’ selama ini jadi untuk acara pada September kami buat julung kali mengadakan kerjasama dan memberi sokongan penuh.
“Kita mahu membantu memastikan penganjuran lebih lancar serta perlumbaan diselia dengan baik sekali gus dapat menjamin keselamatan pelumba dan penonton,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Gerak Kerja Karnival Permotoran dan Perlumbaan Drag 2019 di Restoran Al-Khatiri, Kubang Kerian di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia negeri, Hafiz Hazin dan Presiden DDC, Azwan Hafiz Ibrahim.
Mohd Aidil Afizie berkata, acara perlumbaan itu yang melibatkan sekurang-kurangnya 10 kategori bagi motosikal dan 10 kategori bagi kereta akan diadakan atas trek lumba sepanjang 201 meter.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih 30,000 penonton terutama dari golongan muda bakal membanjiri tapak karnival sepanjang tempoh tiga hari itu.
“Ini juga merupakan usaha mengelak peminat terjebak dalam perlumbaan haram kerana setakat ini, inilah satu-satunya siri perlumbaan drag yang dijalankan secara teratur di negeri ini.
“Kita akan bekerjasama dengan ramai pihak lagi termasuklah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kesihatan, majlis daerah, polis, bomba dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE











