'Baju raya sudah beli tetapi kami tidak dapat beraya bersama' - anak - Utusan Malaysia

‘Baju raya sudah beli tetapi kami tidak dapat beraya bersama’ – anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN 25 Mei – “Patutlah ayah dengan emak beriya-iya mengajak kami membeli baju raya pada Rabu lalu, rupanya itu petanda terakhir mereka hendak meninggalkan kami,” kata Muhammad Adib Anuar, 18, anak sulung kepada pasangan Anuar Said dan Kasliza @ Che Kasliza Che Husin yang maut dalam kemalangan di Kuala Nerus hari ini. 

Menurut Muhammad Adib, dia dan dua lagi adiknya mengikut kedua ibu bapa mereka membeli kelengkapan raya di Pasar Wakaf Che Yeh, Kelantan. 

“Saya tengok mereka seronok membeli-belah dan tidak sangka itu mereka hendak pergi meninggalkan kami semua selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jenazah Anuar dan Kasliza @ Che Kasliza yang merupakan antara empat yang maut dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 9 malam ini.

Nahas tersebut turut menyebabkan anak bongsu Anuar, Nurul Nadirah, 13, cedera di bahagian muka dan kaki dengan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu

Muhammad Adib yang masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa kedua ibu bapanya berkata, sebelum kejadian, emaknya sempat memasak juadah paprik ayam untuk mereka sekeluarga bersahur.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, walaupun agak mengejar masa untuk menziarahi bapa sepupu yang meninggal dunia tengah malam tadi di Besut namun, ibunya masih sempat memasak hidangan itu.

Katanya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut pada pukul 11 pagi setelah melihat maklumat yang dikongsi daripada aplikasi WhatsApp.

“Adik bongsu ikut emak dan ayah manakala saya dengan kakak sulung, Nurul Amirah, 19, tinggal di rumah.

“Memang saya terkejut tengok orang ramai berkongsi gambar kereta dan kad pengenalan ayah dalam aplikasi WhatsApp, masa itu luluh hati saya terutama apabila mengetahui kedua-duanya sudah tiada dan saya terus menangis,” katanya.

Muhammad Adib berkata, akibat terlalu sedih dia hanya mampu menunggu di kediaman dan baju raya yang dibeli kedua ibu bapa mereka kini menjadi kenangan terakhir kepada mereka tiga beradik.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini