IPOH – Seorang pekerja penyelenggaraan warga Bangladesh maut selepas dipercayai terhidu gas beracun ketika menjalankan kerja di dalam saluran paip gas di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh-Lumut di sini hari ini.
Dua rakan sekerjanya iaitu seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan yang bersama mangsa turut tidak sedarkan diri dan kedua-dua mereka dirujuk ke Hospital Raya Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Shahrudi Mohamad Halil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.40 petang sebelum sepasukan enam anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Tiba di lokasi, tiga lelaki berusia 30-an telah terbaring berdekatan saluran paip gas selepas dibawa naik oleh orang awam.
“Anggota kemudian bertindak menutup saluran paip gas itu terlebih dahulu sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap tiga mangsa berkenaan dan mendapati salah seorang daripada mereka tiada tindak balas manakala dua lagi tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambah Shahrudi, lelaki tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan manakala dua rakannya yang tidak sedarkan diri dirujuk ke HRPB.
“Pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) telah dipanggil ke lokasi kejadian bagi mengesan kandungan gas yang terdapat dalam saluran paip tersebut,” katanya. – K! ONLINE











