Prabowo belum mengaku kalah - Utusan Malaysia

Prabowo belum mengaku kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 25 Mei – Keputusan pilihan raya Indonesia hanya akan diketahui penghujung Jun ini selepas pasukan undang-undang Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno secara rasmi memfailkan petisyen mencabar keputusan pilihan raya Presi­den (pilpres) 2019 di Mahkamah Perlembagaan (MK), semalam kurang setengah jam sebelum tempoh bantahan ditutup.

Lapor Kompas.com, permohonan itu dibuat pada pukul 10.44 malam waktu tempatan tanpa kelibat calon Presiden nombor dua, Prabowo dan Sandiaga di bangunan Mahkamah Perlembagaan, di sini.

KEMUKA 51 BUKTI

Memuatkan artikel berkaitan…
BAMBANG WIDJOJANTO
BAMBANG WIDJOJANTO 

Ketua pasukan tersebut, Bambang Widjojanto berkata, terdapat 51 bahan bukti dilampirkan dalam permohonan pertikaian pilpres 2019.

CNN Indonesia melaporkan, kesemua bahan bukti tersebut meliputi sejumlah dokumen dan keterangan beberapa saksi.

Bambang juga memaklumkan bahawa, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa bahan bukti tersebut bakal bertambah dari masa ke semasa.

“InsyaAllah, kita akan melengkapkan semua bukti yang diperoleh dan menambah sebarang perkara penting,” katanya, semalam.

Tanpa memperincikan bukti itu, Bambang menjelaskan ke­semua bukti yang dikemukakan itu meliputi pelaksanaan pilpres hampir di seluruh Indonesia.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) sebelum ini menetapkan dalam tempoh 72 jam selepas pengumuman pilpres pada Selasa lepas, untuk pihak yang kalah supaya mengemukakan bantahan terhadap keputusan itu di MK.

Jika tiada bantahan, KPU akan isytiharkan kemenangan muktamad Joko Widodo (Jokowi), dan jika ada, MK yang akan putuskan.

Proses persidangan (perbi­caraan) dijadual bermula 14 Jun ini, sebelum MK dijangka membuat keputusan pada 28 Jun 2019.

Pemerhati dan penganalisis berkata apa jua keputusan MK nanti itu adalah sesuatu yang muktamad, dan perlu dihormati semua pihak, demi kestabilan politik di Indonesia.

KERUGIAN BESAR PROTES 22 MEI

Dalam perkembangan lain, kebakaran Balai Polis Tam­belangan di Sampang akibat Demonstrasi 22 Mei mengakibatkan polis kerugian ratusan juta rupiah.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Sampang, Puji Eko Waluyo berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, kos kerugian akibat kebakaran itu mencecah sehingga 700 juta rupiah (RM203,827).

Kebakaran itu turut memusnahkan jentera polis, selain beliau memberitahu pihaknya belum menetapkan bila kerja pemulihan akan dilakukan bagi membaiki semua kerosakan.

Gabenor Jakarta, Anies Baswaden memaklumkan bahawa rusuhan yang berlaku di sekitar Jakarta pada Rabu lalu menyebabkan kerosakan besar di beberapa taman di bandar raya ini.

Katanya, kos kerosakan dinilai mencecah sebanyak 465 juta rupiah (RM135,301).

“Nilai kerosakan itu adalah hasil daripada pemerhatian dan pemeriksaan pihak berkuasa terhadap kerosakan kemudahan awam di beberapa taman.

441 PERUSUH DITANGKAP

Polis Indonesia terus menyiasat rusuhan yang berlaku di daerah Sarinah, Slipi, Petamburan dan Tanah Abang di Jakarta pada 21 dan 22 Mei lalu dan mengambil keterangan ratusan suspek yang telah ditangkap.

“Sebanyak 441 suspek dipercayai perusuh yang terbabit dalam demonstrasi di beberapa daerah Jakarta ditahan setakat semalam dan polis masih me­lakukan siasatan,” kata Ketua Biro Penerangan Masyarakat Divisyen Hubungan Masyarakat, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo, semalam.

Selain itu katanya, sebuah ambulans yang dipercayai milik kumpulan Gerakan Reformis Islam (Garis), sebuah kumpulan radikal yang dikaitkan dengan militan Daesh turut dirampas .

Polis menemukan barang bukti berupa wang tunai, busur panah dan buluh runcing selain menahan pemandu dan pembantunya sebagai suspek.

Tambahnya, polis masih menunggu hasil siasatan pasukan khas yang dibentuk dalam menentukan punca kematian lapan peserta rusuhan.

INDONESIA TARIK BALIK SEKATAN PENGGUNAAN WHATSAPP

Kerajaan Indonesia menarik balik sekatan penggunaan Whatsapp yang dilaksanakan selepas berlaku beberapa siri rusuhan pasca pilihan raya pada Selasa lalu.

Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia menerusi akaun rasmi Twitternya pada pukul 1 tengah hari tadi, mengumumkan pembatalan tersebut.

“Selamat menggunakan internet dengan lancar tanpa hambatan kembali ya. Mari gunakan ruang siber ini untuk hal-hal yang positif saja,” menurut ciapan Twitter rasminya.– AGENSI/BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini