DENPASAR 25 Mei – Gunung Berapi Agung di daerah Karangasem, Bali dilapor meletus sekali lagi semalam dengan menghamburkan debu serta ‘memuntahkan’ lahar sejauh tiga kilometer.
Channel News Asia memetik Ketua Agensi Pengurusan bencana Wilayah Bali, I Made Rentin berkata, ketinggian debu yang dihamburkan oleh gunung berapi tersebut tidak dilaporkan, namun pihak berkuasa mengesan bunyi deruman di kawasan sekitarnya.
Letusan pada pukul 7.23 petang waktu tempatan direkodkan berlangsung selama empat minit dan 30 saat dan gunung itu diletakkan pada status tahap tiga iaitu berjaga-jaga.
Letusan itu turut mengakibatkan beberapa kawasan di Karangasem termasuk di perkampungan Pempatan, Besakih, Menanga, Sebudi, Muncan, Amerta Bhuana, Nongan, Rendang dan penempatan di daerah Bangli diliputi debu tebal dan pasir.
Beberapa penerbangan yang dijadualkan berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bali juga terpaksa dibatalkan demi faktor keselamatan, manakala ada juga penerbangan yang dilencongkan.
Ketua Pengarah Pengangkutan Udara Indonesia, Polana Pramesti berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan Gunung Agung.
Dalam pada itu, I Made menasihatkan supaya penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Agung supaya berpindah dalam radius empat kilometer dari kawasan puncak.
Selain itu, keadaan di kawasan sekitar gunung berkenaan akan terus dipantau dari semasa ke semasa berdasarkan data yang dikumpul.
Penduduk tempatan juga dinasihatkan supaya memakai topeng muka setiap kali keluar dari rumah bagi melindungi pernafasan mereka daripada partikel halus yang terdapat dalam debu gunung berapi.
“Semua persiapan sudah disediakan pada peringkat tertinggi. Sekiranya berlaku letusan yang lebih besar, penduduk akan dipindahkan segera. Jangan panik, bertenang dan berdoa semuanya kembali pulih,” kata I Made. – AGENSI











