KUALA LUMPUR 25 Mei – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menyerahkan zakat berjumlah RM 1,706,981.57 bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam satu majlis di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Pengarah Tabung Haji Sabah, Datin Nurlaila Said berkata, pihaknya melaksanakan bayaran zakat setiap tahun yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab agensi itu sebagai sebuah organisasi Islam.
“Bayaran tersebut adalah sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutama bagi golongan asnaf.
“Bayaran zakat bagi Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 28.2 peratus pada tahun lalu berbanding 2017 dengan jumlah RM1,331,855.04,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Yang Dipertua Sabah, Tun Dr. Juhar Mahiruddin berkenan menerima bayaran zakat Tabung Haji itu daripada Nurlaila.
Yang turut hadir, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal, Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar dan Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Dr. Habullah Mohd. Taha.
Sementara itu, Nurlaila berkata, Tabung Haji terus memperkasakan tanggungjawabnya dengan pelaksanaan program zakat yang disasarkan kepada golongan memerlukan melalui penganjuran berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan.
“Jumlah keseluruhan bayaran Zakat Tabung Haji 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6 peratus dengan jumlah sebanyak RM85.57 juta berbanding 2017, RM67.61 juta,” katanya. -UTUSAN ONLINE











