KUALA LUMPUR 25 Mei – Sebanyak 15 warga asing ditahan dalam Op Bersepadu yang dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar kawasan Taman Alam Jaya, Batu 9, Cheras dekat sini pagi tadi.
Dalam operasi bermula pukul 9.30 malam, mereka yang ditahan terdiri 10 lelaki dan tiga wanita serta kanak-kanak (2).
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzamee Daud berkata, operasi yang dijalankan ini menyasarkan warga Afrika yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
Ujarnya, hasil serbuan, sebanyak 33 warga asing diperiksa terdiri daripada 17 lelaki, 14 wanita serta kanak-kanak (2).
“Sebaik menyedari kehadiran anggota operasi di kawasan berkenaan, ada di antara PATI ini cuba melarikan diri namun berjaya dipatahkan oleh anggota operasi yang bertindak mengejarnya.
“Kesemua warga asing yang diperiksa dibawa balik ke IPD Kajang dekat sini bagi tujuan dokumentasi dan pemeriksaan lanjut terhadap dokumen pengenalan diri masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut Khairul Dzamee memberitahu, mereka yang ditahan pula telah diserahkan kepada Pihak JIM untuk tindakan susulan atas pelbagai kesalahan melanggar Akta Imigresen 1959 dan 1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen.
“Bermula 2018 hingga hari ini, sebanyak 295 warga Afrika telah ditahan atas pelbagai kesalahan oleh Imigresen.
“Serbuan di kawasan-kawasan yang dimonopoli oleh warga Afrika akan terus digempur secara bersepadu dengan Agensi Keselamatan yang lain dalam usaha membanteras lambakan PATI di negara ini,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











