RANTAU PANJANG 25 Mei – Alah bisa tegal biasa mungkin perumpamaan paling tepat ditujukan kepada sepasukan anggota bomba yang terpaksa berbuka puasa di lokasi kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah di Pekan Lama Rantau Panjang, di sini semalam.
Biarpun perlu memastikan keadaan sudah benar-benar selamat termasuk api dipadamkan sepenuhnya, para ‘Wira Merah’ itu tidak mengeluh, sebaliknya tenang dan tertib menikmati juadah serba ringkas iaitu sebungkus nasi bersama sebotol air mineral.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, berbuka puasa di lokasi kebakaran atau bencana sudah menjadi lumrah kepada sesiapa sahaja yang bergelar anggota bomba.
Katanya, anggota bomba perlu bersiap sedia setiap masa kerana kejadian kebakaran serta hal-hal kecemasan yang memerlukan khidmat mereka boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
“Ini tugas yang diamanahkan kepada bomba jadi kami tidak perlu mengeluh jika terpaksa berdepan situasi seperti ini. Malah kami sebenarnya amat gembira dapat membantu masyarakat yang ditimpa musibah.
“Jika kita rasa sedih tidak dapat berbuka bersama keluarga, sebenarnya mangsa kebakaran lagi sedih kerana mereka kehilangan tempat berteduh serta musnah harta-benda,” katanya ketika ditemui semalam.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang semalam, tiga buah rumah hangus terbakar di Pekan Lama Rantau Panjang, menyebabkan dua keluarga tinggal sehelai sepinggang, termasuk kerugian wang tunai serta kemusnahan semua kelengkapan menyambut Aidilfitri.
Sementara itu, sebuah lagi rumah yang musnah tersebut didapati tidak berpenghuni.
Seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas serta Tunjong bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal dan memadamkan kebakaran.
Dalam pada itu, Imran memberitahu, setiap anggota bomba beragama Islam tetap berpuasa seperti biasa walaupun perlu bertugas dalam situasi berbahaya yang memerlukan mereka menyabung nyawa dan memerah keringat.
Penat macam manapun, ibadat puasa tetap kami lakukan dengan sebaik mungkin kerana ia adalah perintah agama,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE











