Ini persoalan yang hebat diperdebatkan dalam industri. Banyak pendapat yang khilaf tentang isu ini di Malaysia. Pandangan pertama mengatakan rumah yang masih dalam pinjaman bank, tidak boleh dihibahkan.
Hujahnya ialah kerana rumah itu tidak dianggap milik sempurna (milk al tam) kepada pencagar kerana masih tertanggung dengan beban pinjaman dan terdapat hak penerima cagaran (bank) terhadap harta itu. Jika hibah hendak dibuat maka kebenaran mestilah diberikan oleh bank sebelum akad hibah itu dilaksanakan.
Kepada pihak ini, secara umumnya (kecuali jika mendapat kebenaran bank), hanya harta yang sudah tidak mempunyai apa-apa tanggungan hutang sahaja boleh dihibahkan iaitu harta dimiliki mereka yang sudah berumur dan telah menyelesaikan segala pinjaman perumahan atau orang kaya yang membeli rumah secara tunai (bukan menggunakan pinjaman bank).
Pandangan pihak kedua pula menjurus kepada hibah boleh dibuat ke atas rumah yang masih dalam pinjaman kerana secara prinsipnya rumah itu milik pencagar cuma ia dicagarkan sahaja kepada penerima cagaran (bank) sebagai jaminan bayaran balik pinjaman.
Ini selaras dengan pandangan syafie yang mengatakan: “Manfaat harta yang dicagar adalah milik pencagar dan perbelanjaan pengurusan harta tersebut adalah tanggungjawabnya.”
Memenuhi syarat
Sehubungan itu, ini bermakna rumah walaupun telah dicagar masih milik pencagar. Buktinya? Pencagar bebas untuk berurusniaga dengan rumah itu. Dia boleh menyewa, menjual, mengecat atau mengubah suai rumah itu walaupun ia dicagar kepada pembiaya (bank).
Pihak kedua juga berhujah bahawa hibah ini boleh dibuat asalkan hak dan kepentingan bank terjaga serta beberapa syarat dipenuhi. Pandangan saya? Saya mengambil pandangan yang lebih dekat kepada maslahat masyarakat itu sendiri iaitu pandangan pihak kedua.
Penyelidikan yang kami jalankan pada 2017 dengan pasukan penyelidik profesional dan berkelayakan dari beberapa universiti menunjukkan hibah bagi rumah yang masih di dalam pinjaman bank boleh dilaksanakan. Namun, terdapat syarat-syarat tertentu yang mesti dipenuhi.
Kenapa pula kami bersungguh-sungguh berbelanja puluhan ribu ringgit dengan meluangkan masa dan tenaga melakukan penyelidikan ini? Ada yang menuduh, ia berobjektifkan keuntungan komersial semata-mata sehingga ada yang memfitnah penyelidik kami sebagai penyelidik 25 peratus! Inilah sifat orang kita yang cepat melontar tuduhan dan tohmahan tanpa usul periksa.
Keperluan mendesak
Kami bersungguh-sungguh membuat penyelidikan kerana berdasarkan pengalaman, ada keperluan mendesak dalam masyarakat untuk hibah harta bercagar ini.
Apabila orang yang sudah berumur meninggal dunia, anak-anak mereka kebiasaannya mempunyai kerjaya dan mampu menanggung diri sendiri. Harta pusaka yang ditinggalkan hanyalah berdepan risiko pengurusan pusaka seperti lambat atau risiko perbalahan waris.
Hutang rumah biasanya habis dibayar. Situasi ini secara umum tidak menjejaskan kehidupan waris.
Tetapi, jika yang meninggal dunia itu ibu atau bapa muda dengan anak di bawah umur 18 tahun yang masih belajar dan rumahnya masih berhutang, situasi akan menjadi sangat sukar untuk pasangan dan anak-anak yang ditinggalkan.
Banyak kes saya temui, waris-waris yang berhak (selain pasangan dan anak-anak) bersungguh-sungguh menuntut hak mereka ke atas rumah itu tetapi enggan bersama-sama membantu menyelesaikan hutang tertunggak.
Maka biasanya pasangan atau anak-anak yang terpaksa berhempas-pulas mencari jalan menanggung bayaran bulanan atau menyelesaikan hutang tertunggak kerana mereka yang menetap di rumah itu. Apabila berjaya diselesaikan, hak waris-waris lain tadi tetap perlu ditunaikan (jika mereka enggan melepaskannya).
Elakkan risiko
Ini kisah realiti yang banyak saya temui. Hibah bagi rumah yang masih dalam pinjaman apabila dibuat dapat mengelakkan risiko ini. Jika rumah telah dihibahkan kepada pasangan dan anak-anak, maka ia sah menjadi milik mereka.
Ia tidak boleh dituntut oleh waris-waris lain. Jika mereka terpaksa berhempas-pulas mencari jalan menyelesaikan hutang tertunggak, rumah itu sudah pun menjadi milik mereka.
Perlu diingatkan, kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu hibah itu sah atau tidak bukanlah terletak di tangan kita, masyarakat awam secara individu. Kuasa itu adalah milik eksklusif mahkamah syariah melalui para hakim syariah yang bijaksana.
Di mahkamah syariah sudah terdapat kes-kes hibah bagi harta yang dalam cagaran telah diluluskan sebagai sah oleh mahkamah. Ada kes Maybank dan ada juga kes CIMB Bank.
Jadi, untuk menyatakan bahawa semua hibah untuk harta yang masih bercagar itu tidak sah adalah tidak benar sama sekali. Jika benar ia tidak sah secara keseluruhannya, maka tidak sepatutnya ada satu pun kes hibah harta bercagar disahkan oleh mahkamah syariah. Logikkan?











