Raya: Tiket penerbangan lebih murah - Utusan Malaysia

Raya: Tiket penerbangan lebih murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mei – Tambang penerbangan sempena Hari Raya Aidilfitri pada Jun tahun ini adalah 12 peratus hingga 70 peratus lebih murah berban­ding tempoh sama tahun lalu termasuk bagi festival Keamatan dan Gawai.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Azmir Zain berkata, penurunan harga tambang itu berdasarkan penelitian yang dibuat oleh Mavcom bagi tempoh berkenaan.

Katanya, beberapa laluan yang menunjukkan penurunan tambang penerbangan ialah Kuala Terengganu – Kuala Lumpur; Kuala Lumpur – Alor Setar; Kuala Lumpur – Miri; Kuala Lumpur – Tawau; Kuala Lumpur – Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur – Kuching.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penurunan ini dapat dilaksanakan susulan penambahan jumlah tempat duduk dan kekerapan penerbangan.

“Bagi sambutan Tahun Baharu Cina pula, penurunan sebanyak 30 peratus berban­ding tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi mudah alih FlySmart di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar. Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr. Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Hal Ehwal Pengguna Mavcom, Pushpalatha Subramaniam.

Baru-baru ini, persatuan pengguna menggesa supaya kerajaan mengarahkan syarikat penerbangan tempatan untuk mengurangkan harga tiket pe­nerbangan domestik menjelang Aidilfitri.

FlySmart membolehkan peng­guna memperoleh maklumat mengenai hak mereka di samping membuat aduan secara langsung menggunakan telefon pintar.

Dalam pada itu, Mavcom akan melaksanakan pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang akan memberi kesan positif secara langsung kepada pengguna.

Dengan pindaan kepada MACPC, syarikat penerbangan kini dikehendaki mempamerkan harga muktamad tambang penerbangan bagi tujuan pengiklanan dan juga sewaktu pembelian tiket.

Harga muktamad itu hendaklah merangkumi tambang asas termasuk semua caj yang perlu dibayar kepada syarikat penerbangan, cukai dan fi yang dikenakan oleh kerajaan. Ia juga termasuk fi dan caj yang ditetapkan di bawah mana-mana undang bertulis juga surcaj bahan api.

Berkuat kuasa 1 Jun 2019, pembayaran balik tiket penerbangan perlu diremit kepada pengguna penerbangan dalam masa 30 hari dari tarikh permohonan bayaran balik tersebut.

Ini terpakai bagi tiket penerbangan yang dibeli melalui ejen pelancongan, yang mana syarikat penerbangan perlu membuat bayaran balik kepada ejen tersebut dalam jangka masa yang sama.

Dalam perkembangan lain, Mavcom yang sedang mengkaji semula caj perkhidmatan penumpang (PSC) akan mengumumkan keputusannya pada Oktober 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini