RANTAU PANJANG 24 Mei – Dugaan besar menimpa sepasang suami isteri apabila semua persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan wang simpanan RM9,000 musnah apabila rumah sewa mereka di Kampung Kedai Lama, belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2 terbakar petang tadi.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, dua buah lagi rumah yang berhampiran turut munsah terbakar.
Mangsa, Fatma Mahamad, 31, meskipun berat untuk menerima ujian itu namun dia tetap berlapang dada kerana suaminya Shamsuddin Mohammad, 31, terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Saya akui satu dugaan besar apabila semua wang simpanan (tunai) milik kami hangus.
“Lagipun sebahagian daripada wang itu akan digunakan untuk perbelanjaan menyambut Aidilfitri, selain waktu kecemasan.
“Membuatkan saya lebih hiba apabila semua persiapan Aidilfitri terutama pakaian raya anak-anak gagal diselamatkan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.21 petang.

Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tunjong telah dikerah ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.
“Kami ambil masa selama lima minit untuk kawal kebakaran daripada mereka ke kawasan berhampiran.
“Ketika kami sampai, tiga buah rumah sedang terbakar. Bagaimanapun salah satu daripadanya tidak berpenghuni,” ujaranya.
Imran berkata, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Katanya, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah berhampiran lokasi kejadian daripada musnah.-UTUSAN ONLINE











