KUALA LUMPUR 24 Mei – Sebanyak 232 tong gas petroleum cecair (LPG) disyaki cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi ‘Op Batas’ di sebuah gudang di Tebedu, Sarawak semalam.
Pegawai Pemerintah Superintenden Rosdi Inai berkata, semua tong gas tersebut disembunyikan di atas sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.
Menurutnya, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Operasi sekitar pukul 7.30 malam itu membawa kepada penemuan tong gas LPG yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran melalui jalan darat untuk dipasarkan ke sekitar Kalimantan, Indonesia.
“Tong gas dan lori tersebut yang dianggar bernilau RM203,360 dirampas manakala pemandu serta kelindan lori berusia 48 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Tambah Rosdi Inai, kes tersebut akan dirujuk kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Rosdi turut memberitahu pasukannya juga berjaya merampas rokok dan arak dianggarkan bernilai RM136,000 dalam ‘Op Libas’ di Jalan Lubang Angin Lama, Bau dekat sini sekitar pukul 2.30 petang semalam.
Operasi diketuai Asisten Suprintenden Mohd. Mazlan Mohd Arif merampas 2,500 kotak rokok dan 510 kotak minuman keras yang disembunyikan di dalam sebuah premis.
“Hasil pemeriksaan mendapati penjaga premis berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berhubung pemilikan barang-barang tersebut,” katanya.
Jelas Rosdi, kes itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda mimimun 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN ONLINE











