KUALA LUMPUR 24 Mei- Seorang lelaki warga asing maut setelah kereta pacuan empat roda dipandunya terbabas ke bahu jalan lalu terbalik dalam kejadian di Jalan Bintulu-Miri, Sarawak semalam.
Portal Utusan Borneo melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Samawen, 27, dari Sampang, Indonesia meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, bagaimanapun, empat lagi penumpang yang juga warga asing berusia 29 hingga 51 tahun hanya mengalami cedera ringan.
“Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dalam perjalanan ke Miri dari Bintulu sebelum hilang kawalan lalu terlanggar pembahagi jalan dan terbabas.
“Akibat daripada itu, kenderaan itu terbalik di bahu jalan sehingga menyebabkan pemandunya tercampak keluar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Alexson Naga, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bintulu bagi bedah siasat manakala empat lagi mangsa yang yang cedera ringan dikejarkan ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN ONLINE











