MELAKA – Kutipan zakat di negeri ini meningkat sebanyak 6.6 peratus selepas mencatatkan jumlah pembayaran mencecah RM36.3 juta berbanding RM34 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peningkatan itu turut disumbangkan dengan pertambahan jumlah pembayar iaitu seramai 38,043 orang berbanding 37,252 pada 2018.
Katanya, daripada jumlah tersebut, zakat pendapatan mencatatkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM27.65 juta manakala zakat pertanian mencatat kutipan terendah iaitu RM8,700 dalam tempoh sama.
“Kita akan terus berusaha memastikan kutipan ini dapat dipertingkatkan untuk membantu golongan yang memerlukan selari dengan hasrat dan usaha kerajaan membasmi kemiskinan.
“Diharapkan agensi korporat dan swasta yang lain turut melunaskan tuntutan itu kepada Zakat Melaka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2019 kepada Ketua Menteri Melaka yang mewakili Zakat Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu kerajaan negeri menerima sebanyak RM4,804,702 daripada 10 buah agensi korporat pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.
Penyerahan cek zakat perniagaan dilakukan oleh 13 wakil syarikat korporat kepada Adly dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi Zakat Melaka, Datin Mahani Othman Basir.
Bayaran zakat diterima daripada Lembaga Tabung Haji berjumlah RM2,693,964.62; PLUS Malaysia Berhad (RM776,370); Syarikat Air Melaka Berhad (RM601,722); Selia Senggara Selatan Sdn. Bhd. (RM285,803); Bank Islam Malaysia Berhad (RM110,961.72).
Turut menyempurnakan zakat perniagaan mereka adalah Maybank Islamic Berhad (RM100,100.67); Perbadanan Melaka Holdings Berhad (RM92,038.33); Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (RM56,432.61); Celcom Axiata Berhad (RM51,595) dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (RM35,714.29). – K! ONLINE











