SUNGAI PETANI 24 Mei – Meskipun hanya seekor kucing, namun Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda tetap menyalurkan bantuan kepada orang ramai.
Begitu yang terjadi terhadap haiwan peliharaan itu, yang terperangkap di atas sebatang pokok asam jawa di Kampung Permatang Nanas, Mukim Bujang, Bedong dekat sini, sejak kelmarin.
Pegawai APM daerah itu, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, berdasarkan maklumat pemilik haiwan ini, kucing berkenaan dikatakan telah memanjat pokok tersebut setelah dikejar oleh seekor kucing jantan.
Katanya, kucing betina itu kemudian tidak boleh turun dan terperangkap di atas pokok berkenaan.
“Seramai empat orang anggota pasukan ALPHA diketuai oleh Sarjan (PA) Amran Ismail telah ke lokasi setelah menerima panggilan kira-kira pukul 4.24 petang semalam.
“Kita kemudian menggunakan tangga khas dan berjaya menyerahkan semula kucing itu kepada pemiliknya dalam operasi yang mengambil masa kira-kira setengah jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, orang ramai yang berhadapan dengan situasi sama, boleh menghubungi talian 999 untuk mendapatkan khidmat bantuan. – UTUSAN ONLINE











