KUALA LUMPUR 24 Mei – Prihatin akan peningkatan kos sara hidup rakyat semakin meningkat, syarikat perkhidmatan bas Konsortium E-Mutiara Berhad memperkenalkan perkhidmatan baharu bas ekspres tambang murah iaitu Ekspres Musafir.
Ekspres Musafir yang mula beroperasi hari ini menawarkan tambang sebanyak RM34, jimat RM 10 berbanding harga purata kebanyakan bas ekspres lain bagi laluan Lembah Klang ke Kota Bharu, Kelantan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif diperkenalkan syarikat itu merupakan strategi pemasaran yang ‘melawan arus’ daripada kehendak pengusaha bas lain yang inginkan kadar tambang bas dinaikkan.
“Kementerian menyambut baik langkah diperkenalkan E-Mutiara, dan inisiatif ini sudah tentu merupakan perkembangan positif dalam industri perusahaan bas sekali gus menjadi ‘game changer’ kepada industri. Penawaran tambang murah akan membuka lebih banyak peluang kepada penumpang untuk membuat pilihan dalam pembelian tiket bas ekspres.
“Kerajaan sedar dan maklum dengan keadaan industri ketika ini di mana pengusaha terpaksa menangggung kos operasi yang meningkat setiap tahun. Walaubagaimanapun, kerajaan juga amat prihatin dengan kos sara hidup rakyat yang tinggi dan telah mengambil pendekatan untuk tidak menaikkan kadar tambang bas ekspres yang kali terakhir disemak pada 2013,” katanya dalam ucapan perasmian Ekspres Musafir di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Parames Albakri, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamtan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Siti Zaharah Ishak dan Pengarah Pentadbiran dan Undang-Undang E-Mutiara, Naemah Ya’acob.
Tambah Anthony, walaupun tambang yang ditawarkan murah, tetapi pihaknya tidak berkompromi tentang kualiti perkhidmatan terutamanya perkara-perkara berkaitan dengan aspek keselamatan.
“Walaupun mengenakan kadar tambang yang lebih murah, bas-bas ini juga dilengkapi Sistem Pengurusan Kenderaan atau Fleet Management System (FMS) yang menghadkan kelajuan maksimum 90 kilometer sejam selain Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS),” katanya.
Sementara itu, Naemah berkata, penetapan harga tambang dapat dikurangkan kerana Ekspres Musafir meletakkan jumlah kerusi sebanyak 58 berbanding bas premium sekitar 45 hingga 48 orang.
“Namun, kami masih mengekalkan ciri-ciri eksklusif termasuk kemudahan jalur lebar (WiFi) dan USB. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi atau pertengahan mungkin tidak terasa dengan pengurangan ini, namun ia signifikan untuk mereka berpendapatan rendah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











