BTS? Bagi golongan millennial, ia bukan lagi satu perkataan janggal. BTS merupakan nama pendek bagi Bangtan Sonyeondan atau Bangtan Boys, yang menjadi isu hangat diperdebatkan di Malaysia awal bulan lalu.
Meskipun digelar ‘syaitan’ sebelum ini, tetapi tahukah anda tujuh jejaka Korea Selatan berambut merah jambu mahupun biru itu menyumbang lebih AS$5 bilion (RM20.8 bilion) kepada ekonomi negara tersebut setiap tahun.
Jumlah itu bersamaan dengan sumbangan oleh 26 syarikat bersaiz sederhana. Malah BTS merupakan punca kepada satu dalam setiap 13 pelancong asing melawat Korea Selatan tahun lalu, menurut Institut Penyelidikan Hyundai.
BTS datang Malaysia?
Mengapa BTS menjadi isu di Malaysia? Jawapannya cukup mudah. Malaysia tidak menjadi destinasi bagi BTS melakukan konsert jelajah mereka berbanding negara jiran Bangkok dan Singapura.
Sebelum Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikatakan mahu bawa BTS ke Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes sejak tahun lalu sudah memberi harapan kepada peminat BTS di Malaysia.
Tetapi mengapa kedua-dua individu terkemuka ini beriya-iya mahu mendapatkan BTS? Kenapa tidak menaja mana-mana artis tempatan yang begitu berbakat sahaja?
“Lihat sahaja di Singapura, apabila kumpulan Coldplay dan BTS memilih negara itu sebagai destinasi pilihan, stadium nasional mereka penuh dan tiket habis dijual dalam tempoh kurang dari empat jam. Berpuluh-puluh ribu pelancong luar datang ke Singapura dan memberi kesan gandaan dalam pelancongan. Semua mata tertumpu kepada Singapura, bukan Malaysia,” ujar Syed Saddiq sebelum ini.
Kuasa global BTS
Pada awal 2018, BTS menjadi artis Kpop pertama mendominasi carta album Amerika malah baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang kategori Top Duo/Group di anugerah berprestij Billboard Music Awards (BBMAs) 2019.
Lagu genre Kpop yang pada dahulunya susah didengari di corong radio tempatan kini merupakan lagu yang sering diulang-ulang.
Bukan sahaja radio berbahasa Melayu, malah radio tempatan berbahasa Inggeris juga. Boy in Luv oleh BTS dan Let’s Kill This Love oleh Blackpink antara lagu popular masa ini.
Malah platform muzik digital, Spotify pada April lalu mengumumkan BTS merupakan artis Asia pertama yang berjaya melepasi lima bilion penstriman di platform itu.
Adakah ini bermakna hanya rakyat Malaysia tergila-gilakan BTS? Tidak. BTS bukan lagi satu kumpulan Kpop picisan. Mereka adalah artis global. Jika Malaysia berjaya menjadi lokasi kepada konsert artis itu, ia bukan sahaja akan dibanjiri peminat tempatan malah ratusan peminat dari luar negara.
Sebelum anda salahkan rakyat Malaysia tidak bersifat patriotik, tanya kembali kepada pemain muzik tempatan mengapa mereka masih berada di takuk lama dan mengharapkan rakyat tempatan untuk terus memberi sokongan. Malah ada antara mereka yang mengkritik cita rasa peminat. Eh, boleh macam itu? Bukankah ia pilihan masing-masing?











